Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

MAJLIS JASAMU DIKENANG & SELAMAT DATANG PENGETUA BERSAMA PELAJAR

Pada tanggal 27 September 2019 bersamaan 27 Muharram 1441H, satu majlis telah diadakan untuk meraikan pertukaran mantan pengetua SMAKT, Al-Fadhil Ustaz Zaidi bin Ismail yang bertukar ke Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan Kuantan. Majlis ini juga sempena menyambut kedatangan pengetua SMAKT yang baru iaitu Cikgu Siti Meriam binti Mohamad. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Cikgu Sarimah bt Abdul Halim dan Cikgu Imtinan binti Baharuddin. 

Pada jam 7.30 pagi, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti dengan lagu negeri Pahang dan lagu Sekolah. Majlis dimulakan dengan solat haj at yang telah diimamkan oleh Ustaz Mohd Firdaus bin Mohd Azmy. Kemudian menyusul acara penyampaian ucapan daripada wakil pelajar saudara Umar Mukhtar bin Hairulazam dan ucapan wakil guru Cikgu Saiful Faizal bin Karim. Dalam ucapan tersebut, segala jasa dan usaha mantan pengetua telah disentuh. Walaupun singkat beliau berkhidmat disini, terlalu banyak jasa yang telah ditabur ketika mentadbir SMAKT terutamanya dalam mengekalkan kebersihan, keselamatan, keceriaan dan  kecemerlangan sekolah agar dapat mengekalkan prestasi yang terbaik. Sikap beliau juga sangat disenangi dan mudah didekati dengan seluruh warga SMAKT. 

Kemudian pengerusi majlis menjemput saudara Muhammad Iqbal Faiz bin Muhammad Nazri bagi memperdengarkan bacaan dari ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu disusuli pula persembahan bacaan sajak di dalam bahasa arab daripada pelajar-pelajar tingkatan 1. 

Seterusnya pengerusi majlis menjemput pengetua SMAKT, Cikgu Siti Meriam binti Mohamad untuk menyampaikan sepatah dua kata. Kemudian disusuli dengan ucapan yang dirai mantan pengetua SMAKT, Ustaz Zaidi bin Ismail. “Selagi mane kita tidak ubah sikap dan aliran pemikiran kita, selagi itulah kita tidak boleh maju dan mencapai kejayaan” inilah antara pesanan yang dititipkan kepada para pelajar di dalam ucapannya.  Jelas terpancar ketenangan di raut wajah beliau ketika menyampaikan ucapan tersebut. Walaupun hanya setahun lima bulan mentadbir SMAKT, pelbagai perkara telah dilaksanakan untuk kebaikan warga SMAKT.

Acara terakhir pada hari tersebut ialah penyampaian hadiah penghargaan daripada setiap tingkatan, kelas tahfiz, persatuan dan kelab serta pentadbiran. Semua warga SMAKT dijemput untuk menjamu selera sebelum bersurai. Secara keseluruhannya, majlis berjalan dengan lancar seperti yang direncanakan.

Tag: 2019 perpisahan

0 komen

Sila berikan komen anda di sini