Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

DOKUMENTARI PROGRAM SELANGKAH KE MENARA GADING

 Pada 24 dan 25 Ogos yang lalu seramai 35 orang pelajar telah mengadakan lawatan ke UTM Skudai, Johor bersama-sama 2 orang guru pengiring. Lawatan ini diadakan untuk mendedahkan pelajar aliran sains tulen daripada kelas tingkatan 4 dan 5 Ibnu Sina kepada bidang-bidang sains dan kejuruteraan. 

 
HARI PERTAMA, 24 OGOS, SABTU

            Bas bertolak dari sekolah seawal jam 7.30 pagi, tetapi berhenti untuk sarapan dan meneruskan perjalanana semula pada jam 8.30 pagi. Kami tiba di UTM sekitar jam 3 petang. Kemudian kami segera mengambil kunci dan memasuki asrama penginapan di Kolej 9 untuk pelajar perempuan dan Kolej 10 untuk pelajar lelaki yang hanya terletak bersebelahan di antara satu sama lain. Kemudian kami menaiki semula bas dan turun di perhentian bas FAB (Fakulti Alam Bina), untuk meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke destinasi pertama kami iaitu Masjid Sultan Ismail yang terletak ditengah-tengah universiti. Sambil berjalan ke masjid, pelajar dapat melihat kawasan di sekitar fakulti alam bina yang telah banyak melahirkan graduan arkitek dan pelukis pelan. Setelah selesai menunaikan solat jamak di dalam Masjid Sultan Ismail, kami bergambar di sekitar perkarangan masjid yang indah. Kemudian kami menuruni bukit dari masjid UTM ke Tasik UTM dan mengambil gambar kenang-kenangan di sana.


            Seterusnya kami keluar dari UTM menuju ke pusat bandar Johor Bahru yang mengambil masa kira-kira setengah jam. Kami memilih untuk melawat Danga Bay yang pada suatu masa dahulu menjadi tarikan utama di Johor Bahru tetapi selepas kemunculan Legoland, kawasan ini menjadi lengang dan terbiar. Walau bagaimanapun kami tetap bersyukur dapat menikmati suasana matahari terbenam yang cantik dengan berlatarkan pulau Singapura. Kami kemudian bergerak ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk solat Mahgrib dan Isyak. Masing-masing terpegun dengan keindahan seni bina masjid yang telah hampir mencecah usia 100 tahun. Setelah selesai menunaikan solat, kami menuju ke destinasi terakhir kami untuk hari ini iaitu Paradigm Mall untuk makan malam dan membeli belah. Tetapi masa untuk kami menjelajah kompleks membeli belah ini sangat singkat kerana tepat jam 10 malam, semua kedai telah pun ditutup. Kami pulang ke asrama penginapan dalam kepenatan tetapi puas kerana dapat menjejakkan kaki ke negeri Johor.

 

HARI KEDUA, 25 OGOS, AHAD

            Tepat jam 8 pagi, kami telah berada di Sekolah Kejuruteraan Awam. Kedatangan kami  disambut oleh alumni SMA Al-Khairiah iaitu Prof Ir Mohd Rosli bin Hainin bersama pembantu beliau yang terdiri daripada pelajar PhD. Prof Ir Mohd Rosli memberikan kata aluan dan seterusnya memberi penerangan serba sedikit tentang fakulti-fakulti dan bidang-bidang yang boleh diceburi di dalam aliran sains. Kemudian kami dibawa melawat ke makmal-makmal yang ada di Sekolah Kejuruteraan Awam. 

            Oleh kerana Sekolah Kejuruteraan Awam terbahagi kepada empat jabatan utama iaitu Jabatan Struktur dan Bahan, Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan, Jabatan Hidraulik dan Hidrologi, dan Jabatan Alam Sekitar, maka setiap bidang ini juga mempunyai makmal ujikaji mereka sendiri yang digunakan oleh pelajar tahun akhir ijazah, master dan PhD untuk membuat kajian masing-masing. Kami dibawa melawat ke setiap makmal yang ada di bawah jabatan ini. Pembantu teknik setiap makmal memberi penerangan kepada kami berkaitan kajian yang mereka lakukan dan membawa kami melawat peralatan-peralatan makmal yang mereka gunakan. Kami sangat kagum melihat peralatan dan mesin yang digunakan. Kami seolah-olah berada di kawasan perindustrian! 

            Lawatan ke makmal-makmal di Sekolah Kejuruteraan Awam ini sangat membuka mata kerana di makmal jalan raya kami dapat melihat bagaimana jalan tar di bancuh mengikut komposisi tertentu dan kemudian kekuatannya diuji dengan menggunakan mesin khas. Di makmal struktur dan bahan pula kami melihat bagaimana struktur bangunan diuji kekuatannya. Kami juga berkesempatan mendengar penerangan dari seorang pelajar yang berasal dari Iraq berkaitan kajian PhD beliau. Pengalaman di makmal Hidraulik dan Hidrologi dan makmal  Geoteknik juga tidak kurang hebatnya kerana kami dapat melihat bagaimana sistem saliran air direka dan bagaimana sampel tanah diuji.

 
PERJALANAN BALIK

            Kemudian kami menaiki bas menuju ke destinasi yang terakhir iaitu Institut Pembangunan Bioproduk. Di sini kami dibawa melawat ke makmal pembuatan minyak wangi, makmal pemprosesan makanan bernutrisi  dan pusat pengekstrakan herba. Kami sangat tertarik melihat bahan-bahan kimia dan peralatan canggih yang digunakan untuk kajian di makmal ini. Daripada penerangan dan sesi soal jawab yang diadakan, kami dapat belajar banyak perkara baru. Baru kini kami tahu bagaimana minyak wangi dihasilkan, begitu juga dengan produk-produk kecantikan yang lain. Peluang melihat secara dekat bagaimana pelajar-pelajar master dan PhD sedang melakukan eksperimen di dalam makmal tersebut adalah pengalaman yang berharga dan dapat memberi motivasi untuk belajar lebih bersungguh-sungguh. Semoga kami juga dapat mengikuti jejak langkah mereka, Insya’Allah. Kami akhiri sesi lawatan dengan bergambar sebagai kenang-kenangan di hadapan institut walaupun hujan turun dengan lebat. Selesai makan tengah hari dan solat, kami bertolak pulang sekitar jam 3.30 petang dan selamat sampai di SMA Al-Khairiah semula pada jam 11 malam.


Tag: 2019 lawatan Aktiviti

0 komen

Sila berikan komen anda di sini