Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

MAJLIS MENJUNJUNG KASIH MENYANJUNG BUDI USTAZAH BARIAH BINTI AHMAD BERSAMA PELAJAR

6 Oktober 2017, Jumaat: Satu majlis bersama pelajar SMAKT sempena persaraan Ustazah Bariah Binti Ahmad telah pun berjaya diadakan seperti yang dirancang oleh AJK Pelaksana. Ianya telah diadakan di Dataran Al-Muttaqin seusai perhimpunan pagi. Majlis ini juga diadakan sempena menghargai jasa beliau yang telah berkhidmat di SMAKT selama 35 tahun.

Tepat pukul 7.40 pagi telah kelihatan kelibat yang dirai diarak pandu oleh Ustazah Muslimah Binti Bakar menuju ke Dataran Al-Muttaqin. Kehadiran beliau telah disambut mesra oleh barisan rakan-rakan sejawat dan para pelajar dengan bacaan selawat dan paluan kompang sambil diiring masuk menuju ke pentas yang telah dihias cantik.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa yang telah dipimpin oleh Ustaz Syed Badrillah bin Syed Mohammad. Kemudian disusuli dengan ucapan daripada wakil pelajar yang telah disampaikan oleh Muhammad Hafiz bin Mahadi. Selepas itu, acara persembahan nasyid daripada pelajar pula telah mengambil giliran sebelum diperdengarkan ucapan daripada Cikgu Sofian bin Sulaiman selaku pemangku pengetua SMAKT.

Acara seterusnya adalah bacaan biodata yang dirai dan persembahan gimik daripada guru-guru yang juga merupakan bekas anak didik Ustazah Bariah. Sebelum majlis penyampaian cenderahati dijalankan, majlis telah menjemput yang dirai iaitu Ustazah Bariah Binti Ahmad untuk menyampaikan sepatah dua kata serta nasihat dan amanat kepada semua warga SMAKT sebagai kenang-kenangan. Jelas kesedihan di raut wajah beliau ketika menyampaikan ucapan. Sebelum bersurai pelajar-pelajar telah mengambil peluang untuk bersalam-salaman memohon maaf dan juga sebagai tanda ikatan ukhwah yang telah terjalin sekian lama. 

Selamat bersara Ustazah Bariah binti Ahmad. Semoga sentiasa dalam keadaan sihat dan gembira selalu. Terima kasih atas segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan pada anak didikmu. Jasamu akan sentiasa dikenang. Insya Allah.. 

Tag: Aktiviti smakt Majlis Persaraan Ustazah Bariah Bt Ahmad Majlis Persaraan

0 komen

Sila berikan komen anda di sini