Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

MAJLIS JASAMU DIKENANG

SMAKT – Majlis Jasamu Dikenang telah disambut dengan meriah sekali. Majlis ini telah diadakan di Dataran Al-Muttaqin pada 27 April 2018 (Jumaat) baru-baru ini. Ianya bermula seawal 7.30 am seusai perhimpunan pagi.Tujuan utama majlis ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan ikhlas di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama berkhidmat di SMAKT.

Guru bersara yang diraikan, Cikgu Emran Bin Jamaludin telah berkhidmat selama 35 tahun dalam bidang pendidikan. Beliau telah berkhidmat di SMAKT selama 11 tahun bermula dari tahun 2007 sehinggalah beliau bersara pada tahun ini sebagai guru Geografi Tingkatan 1 dan 2. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di SMA Chenor. Sepanjang perkhidmatan beliau telah di Anugerahkan Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2017. Beliau juga merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi, tegas dalam senyuman dan begitu mesra serta dekat di hati rakan-rakan sejawat dan juga para pelajar. 

Manakala Encik Sabri Bin Abdul Malik yang juga turut bersara, merupakan salah seorang kakitangan yang telah berkhidmat selama 22 tahun di SMAKT. Pada 1 April 1996, beliau telah melaporkan diri di sekolah ini sebagai Pekerja Rendah Awam. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di SMA Chenor. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh. 

Seterusnya, Puan Nur Syuhada Binti Ismail, kakitangan yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan (W19) di SMAKT telah bertukar ke Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Pahang sebagai Ketua Pembantu Tadbir Kewangan (W22). Tahniah diucapkan, jasa yang ditaburkan di sekolah ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang.

Dalam majlis tersebut, kedua-dua guru yang bersara ini telah diberi peluang untuk memberikan ucapan sepatah dua kata sebagai amanat terakhir. Majlis tambah berseri lagi dengan adanya perarakan berkompang, persembahan sajak, pencak silat, nasyid dan gimik majlis persaraan serta penyampaian hadiah kepada yang dirai.  

Pengetua SMAKT, Ustaz Zaidi Bin Ismail turut memberi ucapan dalam majlis tersebut. Beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pesara dan kakitangan yang diraikan di atas bakti yang telah diberikan bermula dari awal dilantik sehingga ke akhir perkhidmatan. Turut sama hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua PIBG iaitu Encik Hasanuddin Bin Salim.

Tag: 2018 perpisahan

0 komen

Sila berikan komen anda di sini