Laman Web Rasmi Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang

(Diselia Oleh: Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang JAIP)

SMA 2019...SMATAF KEKALKAN KECEMERLANGAN 7 TAHUN BERTURUT-TURUT

 
TEMERLOH, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan (SMATAF), terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2019 yang diumumkan pada 17 Disember 2019. Majlis pengumuman rasmi keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) ini telah disampaikan oleh YH Dato’ Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang di Dewan Al-Hassan SMA Al-Wosto Temerloh.
Peperiksaan SMA tahun ini telah dimulakan dengan Ujian Syafawi (Lisan) Al-Quran bermula 3 September hingga 6 September 2019 iaitu selama 4 hari. Manakala Peperiksaan Sijil Menengah Agama pula telah dijalankan di antara 14 Oktober hingga 30 Oktober 2019 iaitu selama 9 hari.

    Tahun ini, seramai 1684 orang calon telah mendaftar untuk menduduki Peperiksaan SMA. Dari jumlah tersebut, 1506 orang adalah merupakan calon dari 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), 153 orang dari 7 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 15 orang dari 1 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan 10 orang calon persendirian.

Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), secara umumnya sebanyak 6 buah Sekolah Menengah Agama Negeri telah mencatatkan kenaikan Gred pada tahun ini. Sekolah-sekolah tersebut adalah:
1.      Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan
         Meningkat dari 1.41 pada tahun 2018 kepada 1.29 pada tahun ini.
2.      Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh
         Meningkat dari 2.25 pada tahun 2018 kepada 2.07 pada tahun ini.
3.      Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, Jerantut
         Meningkat dari 2.4 pada tahun 2018 kepada 2.39 pada tahun ini.
4.      Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Ad-Diniah, Padang Tengku, Kuala Lipis
         Meningkat dari 2.92 pada tahun 2018 kepada 2.65 pada tahun ini.
5.      Sekolah Menengah Agama Bukit Ibam, Bandar Muadzam Shah
         Meningkat dari 2.92 pada tahun 2018 kepada 2.85 pada tahun ini.
6.      Sekolah Menengah Agama Al-Basriah, Tembeling, Jerantut
         Meningkat dari 3.06 pada tahun 2018 kepada 3.04 pada tahun ini.

    Namun begitu, sekolah yang mencatatkan GPS tertinggi iaitu 1.29 masih dipegang oleh Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan. Tahniah diucapkan kepada sekolah ini, yang bukan hanya memegang GPS tertinggi, malah berjaya mengekalkan kedudukan teratas di dalam SMAN sejak tahun 2013. Di samping itu, Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Ad-Diniah, Padang Tengku, Kuala Lipis muncul sebagai sekolah yang telah melonjak GPS sebanyak 0.31.  Berdasarkan pencapaian Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), secara keseluruhannya GPMP tahun ini menurun kepada 2.46 berbanding tahun lepas iaitu 2.34 dengan penurunan gred sebanyak 0.12.

   Walaupun penurunan ini mungkin nampak kecil, tapi pada hakikatnya ia perlu diambil perhatian sewajarnya oleh semua pihak termasuk Bahagian Pendidikan JAIP, mahu pun pihak sekolah. Dari jumlah tersebut, hanya 1 dari 10 mata pelajaran SMA telah mencatat peningkatan Gred. Mata pelajaran tersebut adalah: Mantiq, meningkat dari 2.05 pada tahun 2018 kepada 1.76 pada tahun ini.

   Tahun ini, dari 1506 orang calon SMAN yang menduduki peperiksaan SMA; seramai 132 orang calon telah mendapat MUMTAZ SOFI atau MUMTAZ (Cemerlang) dalam kesemua 10 mata pelajaran SMA, 387 orang calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 365 orang mendapat pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik), 296 orang mendapat pangkat Jayyid (Baik), 93 orang mendapat pangkat Maqbul (Lulus), 225 orang mendapat pangkat Rasib (Gagal) dan 8 orang Tidak Hadir peperiksaan.

Dari jumlah tersebut, 6 orang pelajar telah dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang SMA bagi tahun ini. Pelajar berkenaan adalah:
1.      INDUK NURHANISAH BINTI MD. HANAPIAH
         Dari Sekolah Menengah Agama Rompin, Rompin
2.      AISHAH WAHIDA BINTI HARMIZI
         Dari Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan
3.      AMIRAH BINTI AMILRUDIN
         Dari Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan
4.      NURUL AIN BINTI ROZALI
         Dari Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh
5.      NUR SALSABILA BINTI ZAINI
         Dari Sekolah Menengah Agama Rompin, Rompin
6.      NUR DIYANAH ATHIRAH BINTI ZAKARIA
         Dari Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan

Tahniah diucapkan kepada anak-anak pelajar ini, juga kepada guru-guru sekolah yang terlibat. Tidak lupa juga ucapan terima kasih dan penghargaan atas usaha dan kerjasama dari semua pihak yang terlibat; guru-guru, kakitangan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru, Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Amanah Saham Pahang (ASPA), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Kerajaan Negeri Pahang dan lain-lain lagi. 

   Semoga tahun hadapan, akan lahir lebih ramai lagi pelajar-pelajar Cemerlang bukan hanya dalam Peperiksaan SMA, malah dalam peperiksaan lain termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
 

Tag: KEPUTUSAN SMA 2019

1 komen

Khairul asraf Bin kamarudin

2023-07-12 07:15:36 UTC

Mahad raudah an-nazirin

Sila berikan komen anda di sini