Laman Web Rasmi Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang

(Diselia Oleh: Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang JAIP)

SALAM RAMADHAN

    Alhamdulillah, dengan izin-Nya  kita telah pun di bulan Ramadhan 1440H pada tahun ini. Apakah perasaan kita pada masa ini dalam menyambut bulan yang mulia? Adakah sangat teruja? Berdebar? Atau biasa- biasa sahaja. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang sangat teruja dengan ketibaan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.

    Berbicara mengenai puasa, tentunya kita akan dapat merasai perbezaan antara berpuasa sunat dengan puasa Ramadan. Berpuasa pada bulan Ramadan bukan sahaja menuntut kita untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah kita juga dituntut untuk menjaga kesucian bulannya agar tidak dicemari dengan perkara-perkara maksiat. Ini adalah kerana, bulan Ramadan adalah bulan yang paling agung dan istimewa berbanding dengan bulan-bulan yang lain kerana pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk  dan menjelaskan perbezaan (antara yang benar dengan yang salah).”
(Surah Al Baqarah ayat 185)

    Bulan Ramadan adalah medan untuk kita berlumba-lumba untuk mengejar pahala semaksima mungkin kerana setiap kebaikan yang kita kerjakan pasti akan diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia berdasarkan hadis Qudsi yang bermaksud:

  “Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

      Walaupun begitu, ganjaran pahala juga boleh terhapus jika kita tidak meninggalkan amalan-amalan keji seperti mencarut, mengeji, mengumpat, memfitnah serta banyak lagi perbuatan-perbuatan dosa yang lain. Ingatlah sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya”
(Hadis Riwayat Bukhari)

    Oleh itu, , marilah bersama-sama kita melatih diri untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji bermula dari sekarang agar kita dapat menjaga dan memelihara kesucian bulan Ramadan nanti dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Tag: Ramadhan Kareem

0 komen

Sila berikan komen anda di sini