Laman Web Rasmi Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang

(Diselia Oleh: Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang JAIP)

SMA 2020...SMATAF TERUS UNGGUL

Pekan, 7 April 2021, keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama Pahang (SMA) 2020 telah diumumkan secara rasmi. Pengumuman dibuat secara langsung melalui FB JAIP oleh Pengarah JAIP. Memandangkan situasi pendamik Covid-19 yang masih tidak menentu, maka pengumuman secara atas talian terpaksa dilaksanakan dan tidak dibuat secara terbuka seperti kebiasaan.

    Seramai 1643 orang calon telah mendaftar untuk menduduki Peperiksaan SMA. Dari jumlah tersebut, 1435 orang adalah merupakan calon dari 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), 167 orang dari 7 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 19 orang dari 1 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan 22 orang calon persendirian.
 
    Secara keseluruhan, mengikut Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang tahun 2020 adalah 3.07 berbanding pada tahun 2019 tercatat 2.46, iaitu penurunan sebanyak 0.61. Trend menurun yang dicatatkan sepanjang 4 tahun kebelakangan ini sangat merunsingkan dan kajian teliti perlu dibuat secara menyeluruh bagi mengelakkan kejatuhan yang lebih teruk. Penurunan ini nampak ketara dan ianya perlu diambil perhatian sewajarnya oleh semua pihak termasuk Bahagian Pendidikan JAIP, mahu pun pihak sekolah. Dari jumlah tersebut, hanya 1 dari 10 mata pelajaran SMA telah mencatat peningkatan Gred. Mata pelajaran tersebut adalah mata pelajaran Al-Quran yang telah menunjukkan prestasi yang baik dengan GPMP 1.24 bagi tahun 2020, berbanding 1.63 bagi tahun 2019, iaitu dengan kenaikan sebanyak 0.39. Manakala baki 9 mata pelajaran lain telah menampakkan penurunan di dalam GPMP.
 
     Kita mungkin boleh menyalahkan kepada Pandemik Covid-19 yang telah tersebar luas seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Semua pihak perlu meneliti semula kaedah Pengajaran Dan Pengajaran Dari Rumah (PDPR) yang telah digunapakai ketika Covid-19 melanda dengan mengkaji kelemahan di dalam pelaksanaan PDPR tersebut di sekolah kita. Tindakan serius perlu diambil sebagai persiapan jika Covid-19 masih berterusan dan mungkin akan meninggalkan kesan pada Peperiksaan Sijil Menengah Agama Pahang yang akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.
 
    Tahun ini, dari 1435 orang calon SMAN yang menduduki peperiksaan SMA; seramai 41 orang calon (2.85%) telah mendapat MUMTAZ SOFI atau MUMTAZ dalam kesemua 10 mata pelajaran SMA, 179 orang calon (12.47%) mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 296 orang (20.62%) mendapat pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik), 304 orang (21.18%)mendapat pangkat Jayyid (Baik), 111 orang (7.73%) mendapat pangkat Maqbul (Lulus), 493 orang (34.35%) mendapat pangkat Rasib (Gagal) dan 19 orang Tidak Hadir peperiksaan. Jika merujuk kepada Gred Purata Sekolah (GPS), secara umumnya kesemua 18 buah SMAN telah mencatatkan penurunan pada GPS masing-masing.
 
    Sungguhpun begitu, hanya sebuah sekolah yang berada dalam kategori mata (pointer) 1 jika dilihat pada kedudukan GPS, dengan GPS 1.79 bagi tahun 2020, berbanding 1.29 pada tahun 2019, dengan penurunan sebanyak 0.5. Dengan itu, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan telah mengungguli tempat teratas di antara kesemua 18 buah SMAN. Tahniah diucapkan kepada sekolah ini, yang bukan hanya memegang GPS tertinggi, malah berjaya mengekalkan kedudukan teratas keputusan SMA di dalam SMAN sejak tahun 2013. Tahniah diucapkan kepada anak-anak pelajar ini, juga kepada guru-guru sekolah yang terlibat.
 
    Pengarah JAIP juga turut  merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas usaha dan kerjasama dari semua pihak yang terlibat iaitu Bahagian Pendidikan JAIP, guru-guru, kakitangan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru, Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Amanah Saham Pahang (ASPA), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Kerajaan Negeri Pahang dan lain-lain lagi.

Tag: SMATAF CEMERLANG SMA 2020

0 komen

Sila berikan komen anda di sini