DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
Segala puji-pujian hanya kepada Allah yang maha Esa. Saya bersyukur yang tidak terhingga kerana masih diberi ruang dan peluang untuk berkongsi harapan. Kepada para pendidik dan anak-anak yang saya kasihi, semoga anda semua berada di bawah naungan-Nya dan dapat mengharungi arus pendidikan yang kian menginjak ke hadapan.
Zaman kini, bersesuaian dengan tuntutan transformasi pendidikan negara, sekolah kita turut mengalami perubahan dalam satu fasa baru selangkah ke hadapan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah membuktikan bahawa kita mampu berdiri teguh dengan menghasilkan pelbagaian kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Pencapaian membanggakan dalam peperiksaan penting seperti PT3, SMA dan SPM merupakan satu manifestasi bahawa kita semua masih bekerja kuat dan gigih bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan sekolah kita.
Kepada para guru, sekalung tahniah dan rantaian penghargaan saya berikan kerana berjaya memimpin tangan anak-anak kita di sekolah tercinta ini ke arah kejayaan. Sekolah kita semakin menghampiri misi dan visi yang kita sasarkan untuk menjadi sekolah gemilang negeri Pahang menjelang 2020. Kita bukan saja ingin menjadikan anak-anak ini cemerlang akademik tetapi juga cemerlang sahsiah, cemerlang peribadi dan mempunyai jati diri yang utuh lagi kental untuk berhadapan dengan arus globalisasi masa ini.
Tiada kata secantik bahasa untuk saya menyusun kata-kata, tiada gambar secantik lukisan untuk saya gambarkan perasaan. Dengan tulus ikhlas dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya doakan kita semua sentiasa diberkati dan memperoleh kekuatan untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita dalam merealisasikan kejayaan anak –anak semua dengan penuh ikhlas, iltizam dan komitmen. Semoga kita semua diberkati Allah S.W.T. Amin....
SEKIAN TINTA MENGALIR,
PN LELAWATI BINTI MUHAMAD NOOR,
PENGETUA,
SMA ROMPIN,