CERAMAH MOTIVASI: MENJADI PELAJAR CEMERLANG
Sabtu, 6 Julai 2019 - Unit Bimbingan dan Kauseling SMATAF dengan sokongan daripada pihak sekolah telah mengadakan sebuah ceramah motivasi kepada para pelajar. Sesi motivasi yang telah berlangsung di dewan Ibnu Sina dari jam 7.45 pagi hingga 12.30 tengahari melibatkan para pelajar tingkatan 1 dan 2.
Motivasi yang membawa tema kepimpinan dan cara menjadi pelajar cemerlang telah disampaikan oleh penceramah jemputan Encik Badaruddin Bin Shukor, Guru Penolong Kanan SMK Seri Panching, Kuantan. Bagi mengisi slot motivasi selama hampir lima jam bersama Encik Badaruddin, pelajar-pelajar telah disajikan dengan tayangan slaid yang mengupas perihal kepimpinan dalam diri pelajar sebagai membentuk ciri-ciri kepimpinan yang ada dalam diri para pelajar. Selain itu, para pelajar turut didedahkan dengan aktiviti berkumpulan bagi memupuk nilai kerjasama dan perpaduan dalam menyerlahkan lagi ciri kepimpinan para pelajar.
Besar harapan pihak sekolah serta Unit Bimbingan dan Kaunseling agar modal insan yang lahir dari SMATAF merupakan modal insan yang berkepimpinan sejajar dengan cogan kata yang sering meniti di bibir segenap lapisan masyarakat, “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”.
0 komen