PERKHEMAHAN KADET BOMBA & PENYELAMAT PERINGKAT SEKOLAH
Pekan, 7 Julai 2019 - Menjadi salah satu aktiviti tahunan bagi Kadet Bomba & Penyelamat SMATAF untuk mengadakan aktiviti perkhemahan. Pada tahun ini sekali lagi pasukan Kadet Bomba & Penyelamat SMATAF telah berjaya mengadakan aktiviti pekhemahan peringkat sekolah di Balai Bomba & Penyelamat Pekan. Perkhemahan yang bermula dari hari Jumaat (5 Julai 2019) hingga hari Ahad (7 Julai 2019) menyaksikan penyertaan kadet seramai 28 orang beserta 5 pegawai kadet yang terdiri daripada guru-guru Kadet Bomba & Penyelamat SMATAF.
Perkhemahan yang telah berlangsung selama tiga hari dua malam ternyata memberi peluang yang julung kalinya kepada para peserta perkhemahan menyertai aktiviti-aktiviti yang mencabar. Antaranya, aktiviti mengendali hos bomba, di mana para peserta diajar teknik dan kaedah yang betul untuk membentang dan menggulung hos bomba. Selain itu, para peserta turut berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti lain yang lebih menarik seperti repelling training, menyelamat dalam kebakaran, teknik pernafasan (breathing technique) serta malam kebudayaan. Malah, aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah dan pengisian rohani turut diberikan kepada para peserta sebagai membina jati diri yang lebih utuh.
Melalui aktiviti perkhemahan sebegini, para peserta menjadi lebih berdikari melalui pelbagai kegiatan tahan lasak yang dijalankan. Tambahan pula, para peserta perlu menguruskan rutin harian hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Antaranya, mereka perlu mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Justeru, nilai berani, gigih, inisiatif, proaktif dan tabah akan dipupuk dalam sanubari para peserta dalam mendepani pelbagai cabaran dan pancaroba.