SMATAF MEMBUDAYAKAN BAHASA ARAB
PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (Smataf) mengambil inisiatif menganjurkan program Kempen Bahasa Arab: Bahasaku & Identitiku.
Program yang dirasmikan Exco Dakwah Islamiyyah Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad itu bertujuan meningkatkan motivasi pelajar menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa perbualan seharian sesama mereka dan guru selain penghayatan terhadap budaya Arab.
Antara aktiviti yang disusun sepanjang tahun sempena pelancaran itu termasuk praktikal ungkapan seharian bahasa Arab, pertandingan bercerita dalam bahasa Arab, sayembara puisi Arab, pertandingan dan pameran khat.
Selain itu, pertandingan mencipta Alat Bantuan Mengajar Bahasa Arab, Bengkel Teknik Menguasai Bahasa Arab, program Tahbeeb al Lughah Al Arabiyyah, pertandingan dan persembahan drama Arab juga akan dianjurkan.
Seramai 615 pelajar dan guru serta ahli jawatankuasa (AJK) PIBG Smataf menyertai kempen itu yang diadakan dalam dewan terbuka yang dihiasi menyerupai khemah Arab yang sebenar.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jaip, Abu Bakar Mat Saad, Pengerusi PIBG Smataf, Zulkifli Embong, Pengetua Smataf, Saniah Mohammad, Pengarah Program, Ahmad Fared Mohd Din, AJK PIBG Smataf dan guru-guru.