Sekolah Menengah Agama Rompin

26800 Kuala Rompin, Pahang

Amanat Pengetua

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

        Segala puji-pujian hanya kepada Allah yang Maha Esa. Saya merakamkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi ruang dan peluang untuk berkongsi ucapan dan harapan. Kepada barisan para pendidik dan anak-anak pelajar yang saya kasihi, semoga anda semua berada di bawah naungan-Nya dan dapat mengharungi arus pendidikan yang kian mencabar pada masa kini.

        Selari dengan tuntutan pendidikan arus perdana dan juga Transformasi Pendidikan Negara, sekolah kita turut mengalami perubahan dalam satu fasa baru bergerak selangkah ke hadapan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah membuktikan bahawa kita mampu berdiri teguh dengan menghasilkan pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Pencapaian yang membanggakan dalam peperiksaan penting seperti SMA dan SPM merupakan satu manifestasi bahawa kita semua masih bekerja kuat dan gigih bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sekolah kita.

        Kepada para guru dan murabbi, sekalung tahniah dan sejambak penghargaan saya berikan kerana berjaya memimpin dan membimbing anak-anak pelajar kita di sekolah ini ke arah kejayaan. Sekolah kita semakin menghampiri misi dan visi yang kita sasarkan untuk menjadi sekolah gemilang negeri Pahang menjelang 2025. Kita bukan saja ingin menjadikan anak-anak ini cemerlang akademik semata, tetapi juga memiliki sahsiah dan peribadi yang cemerlang serta mempunyai jati diri yang utuh lagi kental untuk berhadapan dengan arus globalisasi masa ini.

        Tiada kata secantik bahasa untuk saya menyusun kata, tiada gambar secantik lukisan untuk saya gambarkan perasaan. Dengan tulus ikhlas dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya rafakkan doakan agar kita semua sentiasa diberkati dan memperoleh kekuatan untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita dalam merealisasikan kejayaan anak-anak pelajar kita semua dengan penuh ikhlas, iltizam dan komited. Semoga kita semua diberkati Allah S.W.T. Amin....

Sekian, tulus ikhlas dari saya,

HAJI AHMAD SUKRI BIN MOHAMED SODIN, AMP.
PENGETUA

Sejarah Sekolah

Sekolah Menengah Agama Rompin ditubuhkan pada tahun 1970. Keluasan keseluruhan kawasan sekolah ialah 8.5598 Hektar. Sekolah Menengah Agama Rompin telah diasaskan oleh Ustaz Burhanuddin bin Nong Ahmad. Beliau merupakan pengetua Sekolah Menengah Agama Rompin bermula tahun 1970 sehingga tahun 1971. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab sebagai pengetua, warden dan mengawal keselamatan Sekolah Menengah Agama Rompin. Beliau juga merupakan pencipta lencana sekolah yang pertama. Kemudian pada tahun 1992, lencana telah digantikan dengan lencana baharu yang diciptakan oleh Encik Kamaruzzaman bin Ali dan diguna pakai sehingga kini.
 
Sekolah Menengah Agama Rompin telah dibuka secara rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah pada tahun 1973.
 
Pada awal pembukaan sekolah ini hanya terdapat lima orang guru sahaja dan seorang kerani. Bilangan pelajar yang mendaftar pada ketika itu pula hanya seramai 22 orang  terdiri daripada 10 orang pelajar lelaki dan 12 orang pelajar perempuan. Setelah dua tahun penubuhan sekolah ini, bilangan pelajar Sekolah Menengah Agama Rompin telah bertambah kepada 50 orang pelajar. Pada masa tersebut hanya terdapat satu kelas dan satu bilik guru.
 
Setiap pelajar yang ingin masuk ke Sekolah Menengah Agama Rompin perlu melalui proses temu duga oleh guru terlebih dahulu. Pelajar dipilih mengikut kelayakan yang telah ditetapkan seperti boleh membaca al-Quran dan mahir menulis jawi. Mereka yang terpilih ini akan memasuki kelas peralihan terlebih dahulu.
 
Sehingga kini, Sekolah Menengah Agama Rompin telah mempunyai enam buah bangunan sekolah, dua buah surau sekolah, empat buah bangunan asrama, satu buah surau asrama, satu buah rumah pengetua, empat buah rumah kakitangan kerajaan, empat buah rumah PIBG dan mempunyai 37 orang guru serta 8 orang kakitangan.

لمحة تاريخية عن مدرسة رومفين الدينية الثانوية

في عام 1970 قام الأستاذ برهان الدين بن نوع أحمد بإنشاء مدرسة رومفين الدينية الثانوية. وتقلد بنفسه منصب مديرها الأول ابتداء من عام 1970 إلى نهاية عام 1971. بجانب ذلك فقد أخذ على عاتقه مسئولية الإشراف على الطلاب وحفظ أمن المدرسة في نفس الوقت آنذاك، وسيادته كذلك هو مصمم شارة مدرسة رومفين الدينية الثانوية، والتي ما زالت ولا تزال مستخدمة حتى اليوم. في أول تأسيس هذه المدرسة، بها خمسة معلمين وكاتب واحد فقط ممن فيهم المدير. وعدد الطلاب الذين التحقوا بها حينئذ 22 طالبا ذكورا وإناثا. وبعد أن مضى عامان على إنشائه، وعدد الطلاب فيها قد ارتفع إلى 50 طالبا حيث غرفتان، غرفة الفصل الدراسي وأخرى غرفة المعلمين. وعلى الراغبين في الالتحاق بهذه المدرسة أن يجتازوا امتحان القبول أو ما يسمى باختبار التصنيف بنجاح، وسيتم الاختيار حسب الشروط المطلوبة من قدرة الطلاب على قراءة القرآن واستطاعتهم كتابة الحروف الجاوية وقرائتها جيدا. وعلى الناجحين في هذا الاختبار أو امتحان القبول أن يلتحقوا بالفصل الاعدادي أو الانتقالي سبقا، علما بأن هذا الفصل  سيستغرق مدة سنة كاملة، قبل الارتقاء السنة الأولى الثانوية، وقد تم إلغاء هذا القرار في عموم ولاية بهانج بعد تطبيقه لعدة أوقات

Visi, Misi dan Moto

VISI

Membangunkan warga pelajar yang berilmu, berketrampilan, beriltizam dan berwawasan serta berbudi pekerti mulia berlandaskan nilai-nilai islam selaras dengan pendidikan kebangsaan
 
 MISI

Beriltizam untuk menyediakan iklim sekolah yang kondusif serta budaya bitara bagi melahirkan pelajar yang berkualiti dan harmonis melalui amalan yang digariskan oleh Islam
 
 MOTO
 
Siapa yang bersungguh-sungguh pasti berjaya

Objektif dan Piagam Pelanggan

OBJEKTIF

 Melahirkan insan kamil dan soleh yang berpendidikan tinggi serta seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani yang mampu menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama
 
 PIAGAM PELANGGAN
 
Sentiasa mengutamakan pelanggan dalam setiap keputusan dan tindakan
 
Menjadikan konsep mesra pelanggan sebagai budaya kerja
 
Sentiasa memberikan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Kementerian Pendidikan Malaysia, agensi-agensi kerajaan atau bukan kerajaan serta pihak swasta bagi menjayakan sesuatu program

Pengetua-Pengetua SMA Rompin