UTAMAKAN PELAJARAN DAN JAGA AKHLAK

8 JAMADIL AWAL 1440H | 14 JANUARI 2019
 
JERANTUT; Pengetua SMA Pulau Tawar , Pn. Saniah bt Muhammad , menasihati murid-murid SMAPT agar mengutamakan usaha-usaha menuntut ilmu dalam kehidupan. Oleh itu murid-murid perlu menyahut cabaran menghafaz al-quran juzuk ke-30. Keberkatan menghafaz al-quran , akan membantu murid-murid cemerlang dalam pelajaran. Beliau sekali lagi membuat cabaran kepada semua murid agar dapat menghafaz semua surah juzuk ke-30 selepas cuti Tahun Baru Cina nanti.
 
Puan Pengetua juga menasihati murid-murid agar menjadi murid yang berakhlak. Hormat kepada orang-orang yang lebih tua, seperti guru-guru dan menyayangi orang yang lebih muda, iaitu adik-adik yang berada di sekolah dan asrama. Elakkan daripada melakukan buli kepada murid-murid yang lebih kecil. Jika pernah melakukan perkara seperti itu, bertaubatlah. Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-hambaNya yang bertaubat. Kehidupan kita adalah satu ujian untuk menguji sama ada kita tergolong dalam golongan orang-orang yang bertakwa.
 
Utamakan penjagaan kebersihan. Begitulah nasihat Pengetua SMAPT seterusnya. Jagalah kebersihan walau di mana sahaja kita berada. Rebutlah peluang ganjaran pahala bagi amalan mengutip sampah yang ada di dalam kelas atau persekitaran sekolah. Orang yang mempunyai iman yang kuat, suka membuat amal kebajikan dan akan dikasihi Allah SWT.
 
Begitulah beberapa nasihat yang telah disampaikan oleh Pengetua SMA Pulau Tawar , sewaktu perhimpunan pagi Isnin , 14 Januari 2019. 

Tag: #UCAPAN pengetua perhimpunan