Cemerlang Dalam Menuntut Ilmu akan membina Islam Yang Hebat dan Kuat

       Kita sebagai ummat Islam seharusnya menjadi lebih kuat berbanding dengan kelompok bukan Islam kerana sebenarnya Islam mengajar kita dalam Al-Quran dan Al-Hadis kaedah-kaedah dan sifat-sifat yang kita perlu terapkan dalam diri kita untuk membina diri yang terbaik dan kuat berbanding dengan golongan bukan Islam. Namun malangnya kita sebagai orang Islam tidak mempraktikkan atau mengamalkan sepenuhnya ajaran-ajaran yang telah disampaikan oleh Islam kepada kita. Al-Quran sebagai kitab dari ALLAH yang sempurna mencakupi semua aspek kehidupan yang sebenarnya jika kita hayati akan menjadikan kita sebagai orang Islam sebagai satu ummat yang hebat dan kuat.

      Dalam pendidikan sebagai contohnya, Islam mewajibkan ummat Islam untuk menuntut ilmu dan ianya disebut dalam Al-Quran dan hadis-hadis nabi yang bermaksud :

"...Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat..." 

(QS. Al-Mujadilah ayat 11).

Dan Allah SWT berfirman:

"Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala".

(QS. Al-Mulk : 10).

Allah SWT sudah memberikan banyak kenikmatan. Jika kita tidak gunakan dengan baik, maka kita akan menjadi salah satu orang yang merugi. Seperti tercantum dalam surat Al-Mulk ayat 10.

"Dan demikian pula diantara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa, dan hewan-hewan ternak ada yang bermacam-macam warnanya dan jenisnya. Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun."

(QS. Fatir ayat 28)

Ayat ini menjelaskan tentang, dengan ilmu, seseorang akan lebih memahami bagaimana kehidupan ini diciptakan dan mendalami pengetahuan tentang kuasa Allah SWT sebagai sang maha pencipta. Orang berilmu akan takut melakukan hal-hal yang mengandung dosa karena ia memiliki pengetahuan akan kekuasaan dan juga kebesaran Allah SWT.

"Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran” 

(QS. Al-Baqarah ayat 269)

"Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap individu muslim."

(diriwayatkan Ibnu Majah, dan dishahihkan oleh Syaikh Albani dalam Shahih wa Dha'if Sunan Ibnu Majah no. 224.)

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. 

[Riwayat Muslim (4867)]

     Tokoh-tokoh Islam yang hebat juga ada menyimpulkan mengenai kepentingan ilmu yang pastinya datang dari kefahaman mereka tentang kepentingan ilmu yang diajarkan oleh Islam. Antaranya ialah:

  • Telah berkata Ibn Abbas RA: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
  • Telah berkata Abu Darda’ RA: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.
  • Telah berkata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.
  • Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
     Jadi, berdasarkan dengan fakta-fakta yang dinyatakan di atas, ianya sangat jelas dalam menegaskan bahawa Islam sangat-sangat mementingkan dan menggalakkan ummat Islam untuk menuntut ilmu. Oleh itu kita sebagai ummat Islam sepatutnya sedaya upaya berusaha sehabis baik untuk menunaikan tanggungjawab kita menuntut ilmu untuk membina ummat Islam yang maju, kuat dan hebat. Tentang ini, ianya jelas disebutkan dalam satu hadis yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah dia berkata;“Rasulullah SAW bersabda: ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; ‘Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, niscaya tidak akan menjadi begini dan begitu’. Tetapi katakanlah; ‘lni sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan ‘Seandainya’ (kalau), karena sesungguhnya ungkapan ‘Seandainya’ (kalau) membuka peluang masuknya syaitan ”

(HR Muslim No: 4816) Status: Hadis Sahih

Hadis di atas jelas menyatakan:

1. ALLAH menyatakan kecintaanNya kepada mukmin yang kuat dari pelbagai segi. Ini menunjukkan bahawa mukmin yang kuat dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sahsiah adalah penting untuk memastikan Islam sentiasa hebat berbanding dengan golongan bukan Islam

2. ALLAH menyuruh kita bersemangat iaitu bermotivasi, tidak berputus asa, gigih, konsisten dan bersungguh-sungguh dalam segala kebaikkan termasuklah menuntut ilmu

3. ALLAH mengarahkan ummat Islam supaya tidak malas untuk mencapai kebaikkan dan kecemerlangan untuk memastikan Islam tetap teguh dan kuat di muka bumi

4. ALLAH mengarahkan kita supaya sentiasa redha dengan ketentuanNya dan terus berusaha dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan

5. ALLAH melarang kita menyesal dan menyalahkan sesuatu setelah Sesutu berlaku. Kita mestilah berusaha sehabis baik dan bertawakkal kepada ALLAH

6. ALLAH mengarahkan kita redha kepada ketentuan dan takdir yang ALLAH tetapkan.

      Secara kesimpulannya, Islam mengarahkan kita sebagai penganutnya untuk berusaha bersungguh-sungguh, rajin, bersemangat, bermotivasi dan konsisten dalam perjuangan kita untuk mencapai kecemerlangan. Kita sebagai ummat Islam sepatutnya menjadikan ini sebagai amalan kita untuk memertabatkan Islam supaya Islam tidak dipandang lemah dan hina. Ummat Islam sepatutnya lebih berjaya dan hebat terutamanya dalam bidang ilmu untuk memastikan Islam gemilang, cemerlang dan terbilang. InsyaALLAH.

rujukan:

Tengku Asmadi PhD. Motivasi Alihan Pelajar. PTS Milennia SDN.BHD. 2015

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu

https://news.detik.com/berita/d-4899811/keutamaan-ilmu-dalam-islam-dan-dalilnya-dalam-al-quran

https://people.utm.my/ajmain/2017/12/31/mukmin-yang-lebih-dicintai-allah/


Tag: PKP kelas online SMAM 2020