13 rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang (bahagian I)

                                       13 rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang

       Ramai pelajar mahu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan samada peperiksaan tahunan, PT3, SMA, SPM, STAM atau STPM. Walaupun ramai yang berkeinginan untuk cemerlang hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya mendapat kecemerlangan apabila keputusan diumumkan. Kenapa ini berlaku? Adakah ianya disebabkan factor IQ atau ianya lebih disebabkan oleh tahap usaha yang dilakukan sebelum menduduki peperiksaan? Sebenarnya untuk cemerlang ada rahsianya. Rahsia yang perlu diketahui oleh pelajar-pelajar untuk cemerlang ini perlu diamalkan dalam pembelajaran mereka. Jika mereka tahu rahsia tetapi tidak mengamalkannya ianya tetap akan menjadi sia-sia dan tetap tidak akan dapat menjana kecemerlangan yang diinginkan. Mari kita lihat 13 rahsia yang perlu dikupas dan seterusnya diamalkan oleh pelajar-pelajar yang nekad untuk berjaya.

1.       Matlamat atau sasaran
 
Pelajar yang mahu cemerlang perlu mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas dalam pembelajaran mereka. Mereka perlu menetapkan sasaran untuk mereka capai dalam pembelajaran mereka dan seterusnya berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran tersebut. Contohnya tetapkan sasaran untuk mendapat berapa A dalam peperiksaan yang akan datang. Sasaran ini mestilah mampu untuk mencabar diri dan memberikan mereka semangat untuk berjuang mendapatkannya. Jangan meletakkan sasaran yang terlalu rendah kerana ini tidak akan meningkatkan motivasi mereka bahkan menyebabkan mereka tidak meningkatkan usaha yang sedia ada untuk mencapainya. Matlamat pembelajaran pula merupakan sebab kenapa mereka mahu cemerlang. Contohnya belajar untuk membela nasib keluarga untuk keluar dari kemiskinan, atau untuk memastikan masa depan mereka akan lebih terjamin, atau untuk memastikan mereka boleh membela nasib agama, bangsa atau Negara. Matlamat yang ditetapkan mestilah relevan dengan diri pelajar agar ianya menjadi lebih bersifat peribadi atau personal.
 
2.       Percaya
 
Pelajar perlu percaya kepada kemampuan diri mereka untuk mencapai kecemerlangan. Kepercayaan dan keyakinan bahawa diri mampu untuk mencapai kecemerlangan akan meningkatkan semangat pelajar untuk terus berusaha membaiki kelemahan diri mereka dalam subjek-subjek yang mereka hadapi. Seterusnya kepercayaan ini akan membolehkan mereka sanggup berkorban untuk mencapai kecemerlangan tersebut, contohnya mampu untuk mengorbankan kesenangan sementara yang selalu melalaikan pelajar seperti bersosial secara melampau atau membazirkan masa dengan permainan video game yang akan mengambil banyak masa mereka yang sepatutnya digunakan untuk belajar.
 
3.       Tumpuan
 
Tumpuan sebenarnya akan membantu pelajar untuk lebih mudah mengingat dan memahami. Tumpuan merupakan salah satu fungsi minda untuk memilih maklumat yang penting dan mengarahkan minda kita untuk mengingat dan memahami. Contohnya jika pelajar memberi tumpuan dalam kelas semasa guru sedang mengajar, mereka akan lebih mudah mengingat dan memahami apa yang sedang diajar dan ingatan akan menjadi lebih lama kerana tiada gangguan daripada maklumat-maklumat yang tidak penting contonya percakapan dari kawan sebelah. Tumpuan jika diberikan pula semasa ulangkaji akan dapat menumpukan minda kepada perkara yang sedang diulangkaji. Jadi pelajar mesti tahu cara untuk memberi tumpuan dan mengamalkannya semasa proses pembelajaran.

 

4.       Perancangan
 
Pelajar yang mahu cemerlang perlu mempunyai perancangan belajar yang teratur dan sistematik dan berusaha untuk mematuhinya. Mereka perlu memanfaatkan masa secara optimum dan sebaik-baiknya. Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan elakkan pembaziran masa. Pelajar perlu menetapkan prioriti dalam hidup mereka untuk mencapai kecemerlangan. Mereka juga perlu memantau tahap kemajuan dan penguasaan pelajaran mereka. Setiap kertas peperiksaan yang lepas mesti dilakukan post mortem untuk menentukan kelemahan mereka dan seterusnya membaiki kelemahan tersebut untuk peperiksaan seterusnya. Ataupun jika mereka menjawab kertas-kertas latihan contohnya soalan-soalan tahun lepas, selepas mendapat markah mereka, mereka perlulah melakukan post mortem untuk mencari dan membaiki kelemahan mereka dalam menjawab soalan-soalan itu dan membaiki kelemahan tersebut sebelum menjawab set soalan yang lain pula. Lakukannya secara sistematik dan teratur.

Tag: PKP kelas online SMAM 2020