Apa Beza STPM, Asasi, Diploma Dan Matrikulasi?

Keputusan SPM 2017 bakal diumumkan tidak lama lagi. Dalam beberapa hari ini, semua pelajar lepasan SPM yang berjaya sedang berkira-kira dan memikirkan hala tuju seterusnya dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ikuti serba sedikit maklumat yang berkaitan pemilihan pusat pengajian tinggi yang ditawarkan di Malaysia.

Tingkatan 6

Lepasan SPM yang layak dan cukup syarat ke Tingkatan 6 (lulus SPM dengan mendapat kepujian sekurang-kurangnya dalam Bahasa Melayu dan memenuhi syarat khas yang lain) akan ditawarkan secara automatik. Kepada mereka yang tidak mendapat tawaran, pelajar boleh membuat rayuan kemasukan dalam tempoh rayuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jurusan yang ditawarkan adalah Jurusan Sains dan Jurusan Kemanusiaan.

Tingkatan 6 sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan, di antaranya adalah ianya diiktiraf bagi kemasukan kebanyakan universiti di serata dunia. Dengan sijil STPM pun sudah boleh bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Syaratnya dapat 4 prinsipal atau 3 prinsipal 2 subsid mana-mana yang terpakai berdasarkan prinsipal terendah.

 

Kiraan pointer STPM berdasarkan campur kesemua pointer subjek diambil bahagi dengan 4 sahaja. Kalau dapat 3.00 ke atas sudah dikira “okay”. Pointer nak masuk universiti menggunakan STPM ni tak tinggi berbanding kursus matrikulasi, pra-u lain, diploma dan sebagainya kerana taraf akademiknya sangat hampir dengan universiti.

Orang cakap sebelah kaki kat U kalau masuk form six ni. Itu sebab subjeknya walaupun ambil 4 atau 5 subjek bebannya lagi susah kerana perlu belajar sangat mendalam dalam setiap subjek malah ada budak matrikulasi pun belum tentu dapat skor bila jawab soalan STPM ni.

* Setiap subjek majoriti kena ambil 4 kertas atau bahagian bergantung kepada subjek.

 

Asasi IPTA

Program Asasi pula dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Program asasi terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus serta mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dijuruskan untuk program asasi tersebut.

Pusat Asasi UiTM ataupun Centre of Foundation Studies (UiTM Pusat Asasi telah ditubuhkan pada November 2009 dengan tujuan untuk menyediakan pelajar untuk mengikuti program ijazah di UiTM dan Institusi awam yang lain Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Program predegree akademik yang ditawarkan ialah: Asasi Undang-undang (LAW), Asasi Kejuruteraan (Kejuruteraan), Asasi TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Asasi Sains (Sains).

SIAPA YANG BOLEH MEMOHON?

Warganegara Malaysia dengan status Bumiputra

Pelajar lepasan SPM segar.

Qualifications asing tidak layak.

CARA MEMOHON? Isi borang permohonan UPU (BPKP JPT).

*Semua pelajar yang mendaftar sebagai sepenuh masa dan layak mendapat biasiswa daripada Kementerian Pengajian Tinggi (Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia).)

Universiti Malaya (UM) mempunyai 7 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Alam Bina, Asasi Pendidikan Islam, Asasi Syariah, Asasi Usuluddin dan Asasi Pengajian Islam Dengan Sains.

Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai 15 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Sains Kesihatan Bersekutu, Asasi Kejururawatan, Asasi Farmasi, Asasi Pergigian, Asasi Perubatan, Asasi Sains Kemanusian, Asasi Bahasa Inggeris, Asasi Bahasa Arab, Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan, Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer dan Asasi Undang-Undang.

Lulusan program Asasi UM dan Asasi UiTM masih perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah tetapi mereka akan diberi keutamaan untuk memasuki ke universiti program asasi mereka.

Manakala lulusan program asasi yang lain akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah universiti berkenaan jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

 

Diploma IPTA

Program Diploma pula diurus dan dikendalikan sendiri oleh pihak universiti. Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 3 tahun. Kursus di peringkat diploma ini daripada awal lagi telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. Ini bermakna apabila pelajar berkenaan mengikuti program pengajian diploma mereka telah boleh merancang masa depan kerjaya dengan lebih tepat.

Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan juga perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Para pelajar boleh memohon biasiswa atau pembiayaan yang lain seperti PTPTN untuk menampung kos pembelajaran.

Lulusan program diploma boleh terus bekerja jika mereka mahu atau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah. Walaupun begitu ada juga universiti yang menyerap terus lulusan diploma mereka ke peringkat ijazah jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Senarai program diploma yang ditawarkan oleh UiTM

 

Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi KPM terbahagi kepada dua iaitu Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT) dan mempunyai 4 jurusan iaitu Sains Hayat, Sains Fizikal, Perakaunan dan Teknikal. Jurusan Teknikal baru diperkenal pada tahun 2009. Sukatan pelajaran program matrikulasi lebih bersifat terbuka kerana hanya dibahagikan kepada empat jurusan umum ini.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah cuma RM 220 untuk jurusan Sains dan Teknikal dan RM 212 untuk jurusan Perakaunan. Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Semasa belajar di kolej matrikulasi, para pelajarnya akan menerima elaun sebanyak RM 1,250 satu semester.

Lulusan matrikulasi perlu memohon melalui UPU atau Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengikuti program peringkat ijazah. Mereka yang mempunyai keputusan cemerlang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki program pengajian yang diminati. Mereka yang sederhana pula ada kemungkinan akan mendapat program pengajian yang tidak diminati atau biasa disebut ‘dilelong’.

Kelebihan Dan Halatuju Matrikulasi

Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Jumlah elaun pelajar adalah RM1,250 satu semester. Pembayaran elaun akan diberi secara bulanan kepada pelajar sebayak RM250 sebulan

 

Pilihan Anda

Kesemua program ini direka untuk calon yang berbeza-beza dan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apapun setiap calon mestilah mempunyai matlamat jangka panjang yang jelas sebelum memilih mana-mana program yang sesuai.

 

Mereka yang memilih untuk mengikuti program asasi ataupun matrikulasi akan menamatkan program pengajian peringkat sarjana muda dalam tempoh yang lebih cepat berbanding mana program pra-universiti lain. Ini adalah suatu kelebihan buat pelajar-pelajar yang memilih program ini kerana mereka akan dapat memasuki alam perkerjaan dengan lebih awal.

Oleh kerana program asasi dan matrikulasi merupakan jalan terpantas untuk calon mendapat ijazah sarjana muda jadi mereka perlulah melalui proses pembelajaran yang sangat intensif dan mencabar kerana banyak perkara yang perlu dipelajari dalam masa yang singkat. Jadi bagi calon-calon yang berminat perlu sentiasa fokus untuk mengekalkan momentum pembelajaran dari awal lagi.

Walaupun begitu segala susah payah ini akan dibalas dengan kepantasan memasuki program pengajian peringkat ijazah dan dunia kerjaya.

Secara umumnya program Matrikulasi sesuai untuk mereka yang belum pasti kursus apa yang ingin diikuti diperingkat ijazah kerana sukatan pelajarannya lebih terbuka. Manakala program Asasi pula sesuai untuk mereka yang sudah pasti apakah kursus yang ingin diikuti diperingkat ijazah dan universiti yang ingin dimasuki kerana sukatan pelajaran asasi telah disusun mengikut kursus yang tertentu.

Perbezaan yang paling ketara antara program asasi dan matrikulasi dengan program diploma adalah tempoh masa pengajian. Program diploma mengambil masa yang lebih panjang iaitu 3 tahun jadi proses pembelajaran tidaklah begitu ketat. Di samping itu pelajar diploma mempunyai lebih peluang untuk membaiki penurunan prestasi kerana ada 6 semester berbanding 2 semester untuk asasi dan matrikulasi setahun.

Namun kerana tempoh masa pembelajaran yang lebih lama maka lepasan diploma akan lewat memasuki pengajian peringkat ijazah dan akan lambat mula bekerja. Walaupun begitu ada universiti yang memberi pengecualian jam kredit kepada lulusan diploma dan ini boleh memendekkan sedikit tempoh masa pengajian.

 

Dipetik dari:

https://madeinuitm.com/perbezaan-antara-tingkatan-6-asasi-diploma-dan-matrikulasi-penjelasan/

Tag: spm 2018