KEPUTUSAN SPM SMAD 2016
CATATAN GEMILANG SMAD : OLEH ZURAIHAH MASKAM
Saban tahun, saat keputusan SPM keluar, pelbagai gelagat dan ceritera indah, suka dan duka terakam dan bermulalah episod baru rencana kehidupan anak-anak didik SMAD yang bertebaran mengejar impian masing-masing. Tahun ini, tanggal 16 Mac 2017 menjadi detik sejarah, menyaksikan pencapaian gemilang setelah lima tahun menempuh ranjau dan duri serta bersulam air mata mempersiapkan diri demi harapan diri sendiri, keluarga mahupun guru-guru yang mencanai butiran loklok yang kini bersinar cerlang.
Syukur Alhamdulillah, tahun ini, pencapaian SPM 2016 mencatat kegemilangan dengan menyaksikan daripada 61 calon yang menduduki peperiksaan, seorang pelajar mencapai kejayaan 9 “Straight A” iaitu Siti Zahirah binti Harun. Beberapa pelajar lain yang mengambil 11 matapelajaran juga mencatat pencapaian yang cemerlang apabila masing-masing mendapat 10A (Nur Liyana binti Rozaidi), 9A (Siti Norsafini binti Roslan), 8A (Nur Faizatul Diyana binti Khalil), 6A (Nur Khairunnisa binti Nor Khairudin) Dan 4A (Muhammad Nadzmi bin Nazam) manakala Haz Amir Zikri bin Mohd Hanif yang mengambil 10 matapelajaran mendapat 4A dan Nurul Izzah binti Mohammad Shuhaimi yang mengambil 9 matapelajaran mendapat 6A. Sebelas orang pelajar mendapat 3A, lima belas orang mendapat 2A dan sekurang-kurangnya mendapat 1A seramai 46 orang.
Secara keseluruhan, SMA Al-Ulum Addiniah Dong Berjaya meningkatkan nilai GPS walaipun sekecil 0.01 berbanding GPS SPM 2015 iaitu 4.5. Sekali lagi matapelajaran Prinsip Akaun mencatat peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 1.15 manakala matapelajaran Bahasa Arab Tinggi dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah meningkat sebanyak 1.02. Matapelajaran Bahasa Inggeris mencatat sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.17. Matapelajaran lain hanya mengalami penurunan yang sangat kecil. TAHNIAH kepada semua pelajar yang menduduki SPM pada tahun 2016, ibu bapa, guru-guru serta kakitangan SMAD yang telah menggembeling tenaga melakar pencapaian yang sangat membanggakan semua warga SMAD. Semoga pencapaian ini menjadi pendorong semangat untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang di dunia dan di akhirat. Amin.
0 komen