Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah Dong

Hidup Beragama

PERTANDINGAN BOLA TAMPAR MSSD

 

06 Februari 2017 - Kejohanan Bola Tampar MSSD Raub bawah 18 tahun telah berlangsung selama 3 hari berturut - turut di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ruan (SMKSR) yang merupakan tuan rumah pada tahun ini. Perlawanan ini adalah anjuran daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Raub dan telah berlangsung pada 1-3 Februari 2017 iaitu pada hari Rabu hingga Jumaat. Sebanyak 8 buah sekolah daripada 12 buah sekolah dalam daerah Raub telah menghantar pasukan masing-masing bagi kategori Lelaki & Perempuan. Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah Dong (SMAD) telah menghantar satu pasukan bola tampar lelaki untuk menyertai kejohanan tersebut dan ia merupakan penyertaan kali pertama oleh sekolah ini. Secara keseluruhannya, semua pasukan yang menyertainya bermain dengan penuh kesungguhan dan bermandi peluh demi memartabatkan maruah sekolah masing-masing. 

Dengan rasa gembira dan sukacitanya, SMAD telah dinobatkan sebagai naib johan yang mana telah meraih pingat perak bagi kategori perlawanan bola tampar MSSD 18 tahun ke bawah dan ini adalah penyertaan kali pertama yang sangat membanggakan bagi semua warga SMAD. Kejayaan yang dikecapi oleh SMAD VOLLEYBOYS telah memberi suntikan baru kepada semua pelajar SMAD untuk terus berusaha gigih dalam dunia sukan sekolah agama di samping dapat mengharumkan nama sekolah. Selain itu, 4 orang pemain daripada pasukan bola tampar SMAD telah dipilih untuk menyertai latihan dan pemilihan untuk mara ke kejohanan bola tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) yang akan berlangsung pada 20 Februari 2017 tidak lama lagi.

Encik Luthfe Bin Abdul Rafar merupakan jurulatih bagi pasukan SMAD VOLLEYBOYS manakala pengurus pasukan bola tampar SMAD adalah di bawah pimpinan Encik Hishamudin Bin Adenan. Menurut Encik Luthfe Bin Abdul Rafar, kemahiran merupakan perkara asas yang penting dalam mencipta sesuatu kejayaan. Beliau juga berpendapat bahawa tidak ada sebarang alasan untuk terus berjaya sekiranya ada minat dan usaha yang gigih. Keadaan gelanggang SMAD yang daif juga tidak menjadi penghalang untuk SMAD VOLLEYBOYS mengecapi kejayaan seperti sekarang. Beliau amat bersyukur di atas kejayaan anak didik beliau. Beliau juga bertekad untuk mencipta kejayaan yang lebih besar pada tahun berikutnya. InsyaAllah .

 
 
 

Tag: BOLA TAMPAR

0 komen

Sila berikan komen anda di sini