Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah Dong

Hidup Beragama

AMANAT PENGETUA

.Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

             Saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang dan kesempatan berharga ini. Syabas kepada Ahli Jawatankuasa Laman Web SMAD kerana mampu merealisasikan laman web rasmi sekolah. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga atas usaha dan komitmen yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan laman web SMAD. Terima kasih juga kepada semua pihak yang menyokong penuh usaha murni ini. 

             Adalah menjadi harapan saya, tahun ini SMAD terus melakar pelbagai kejayaan dan kecemerlangan baik dalam kurikulum mahupun kokurikulum. Sehubungan dengan itu, para pendidik haruslah menjalankan amanah yang diberi untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, malah melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berkeyakinan diri.

                     Akhir bicara, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai sahsiah dan akhlak yang mulia. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga SMAD serta ibu bapa sudah tentu dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil. Semoga segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa mendatang.
Sekian,terima kasih.

Ustaz Kamal bin Sahi
Pengetua 
SMA Al-Ulum Addiniah Dong

SEJARAH SEKOLAH

               Sekolah ini telah dibangunkan pada 19 Januari 1948 dengan gotong royong orang-orang kampung Dong dan kampung berhampiran Durian Sebatang, Ajai dengan diketuai oleh jawatankuasa penaja sekolah. Sumber kewangan sekolah adalah terdiri daripada bantuan sedekah orang-orang kampung dan hasil jualan padi zakat yang separuhnya tidak dipungut oleh Jabatan Agama Islam pada masa itu.

                Pelajaran sementara telah dimulakan pada 28 Ogos 1949 dari jam 02:00 petang sehingga jam 04:30 petang selama 4 bulan. Pada Febuari 1950, pelajaran pada waktu pagi dimulakan dengan bilangan pelajar seramai 30 orang. Guru berkhidmat secara sukarela kerana kewangan ketika itu hanya ditumpukan kepada pembinaan bangunan sekolah. Pada tahun 1952, Jabatan Agama Islam Pahang telah memberi bantuan sebanyak 50 sen bagi setiap pelajar. Memandangkan keadaan sekolah yang serba kekurangan, Jawatankuasa Pengelola telah mengadakan beberapa aktiviti untuk menambah kewangan tabung sekolah diantaranya ialah menjalankan kutipan derma dari kampung ke kampung, mengadakan pasaria, meletakkan tabung derma di kedai-kedai orang Melayu, menghantar rombongan pelajar ke kampung-kampung untuk berceramah dan sebagainya.

                Pada tahun 1955, Lembaga Penyiasat Sekolah-Sekolah Agama ditubuhkan oleh Ahli Wakil Rakyat di Dewan Negeri. Ekoran daripada itu, sekolah ini terpilih sebagai sebuah sekolah yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM 10.00 setiap seorang pelajar setahun. Pada tahun 1959, sekolah ini mendapat bantuan tambahan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM16.00 setiap pelajar setahun menjadikan jumlah semua bantuan RM 26.00 bagi seorang pelajar setiap tahun.

Pengambilan di bawah Kerajaan Negeri Pahang

                Pada tahun 1960, sekolah ini mendapat bantuan daripada Lembaga Kebajikan Masyarakat berjumlah RM10,000 bagi membina bangunan tambahan dan kemudiannya dirasmikan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Atas cadangan Allahyarham Dr. Abdul Rahman Talib sebagai Ketua Jabatan Ugama Pahang pada ketika itu kepada Kerajaan Negeri supaya mendirikan sekolah agama di setiap daerah, maka pada tahun 1967 sekolah ini diambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang hingga kini. Pihak sekolah kini sentiasa mengharapkan perhatian penuh daripada Jabatan Agama Islam Pahang dan Kerajaan Negeri memandangkan masih banyak kekurangan yang belum disempurnakan. Pihak sekolah dan pihak-pihak yang terlibat harus memandang serius perkembangan dan kemajuan sekolah ini kerana ia merupakan antara sekolah yang tertua di negeri Pahang.

VISI, MISI DAN MOTTO

VISI

Menjadi pusat pendidikan dan dakwah islamiah yang unggul dan berwibawa menjelang 2025

MISI

SMAD akan menjadi sebuah institusi agama yang unggul dalam semua aspek pengurusan, pendidikan, kurikulum dan kokurikulum berlandaskan kesepaduan duniawi dan  ukhrawi di pelbagai peringkat dengan menyediakan satu suasana yang kundusif untuk setiap pelajar menghayati dan mengangkat potensi diri menjadi individu yang cemerlang
 
MOTTO
“Melahirkan Modal Insan Rabbani” 

CARTA ORGANISASI

.

LAGU SMAN PAHANG

LIRIK BAHASA MELAYU

MARILAH KITA SAMA-SAMA
MENUJU MERCU KEJAYAAN
BERSAMA NAUNGAN YANG SUCI
TEMPUHI SEGALA DUGAAN

SEKOLAH MENENGAH AGAMA TERCINTA
PEMBIMBING SEMUA TUJU CITA-CITA 

MAJU SEKOLAH MENENGAH AGAMA
HIDUP BERSAMA BERSATU PADU
KECAPI KEJAYAAN SYIAR ISLAM
BERILMU…BERAMAL…BERTAQWA
BERILMU…BERAMAL…BERTAQWA

 
LIRIK BAHASA INGGERIS

LET US, LET US TOGETHER
TOWARDS THE HIGHEST ACHIEVMENT
TOGETHER WE STAND HERE AS ONE
WE STRIVE TO OVERCOME OBSTACALES
BELOVED ISLAMIC SECONDARY SCHOOL
LEAD US, TEACH US IN REACHING OUR GOALS

EXCEL ISLAMIC SECONDARY SCHOOL
UNITE TOGETHER WE CHART OUR WAY
ENJOY THE HAPPINESS OF SYIAR ISLAM
WE LEARN… WE PRACTISE… WE BELIEVE…
WE LEARN… WE PRACTISE… WE BELIEVE…
 
PAHANG DARUL MAKMUR

 

LIRIK BAHASA ARAB


هيا بنا هيا بنا معا
نعتلي قمة النجاح
مع تحت راية واحدة
نتحدى كل التحديات

مدرستنا الثانوية المحبوبة
ترافقنا لتحقيق
الغايات والأمنيات

تقدمي يا مدرستنا
نحيا معا بحب واتحاد
نذوق النجاح
شعار الإسلام
بالعلم...والعمل...والتقوى 
بالعلم...والعمل...والتقوى  

بهانج دار المعمور                                       

 

 

 

 

SOALAN LAZIM

Soalan   

1.  Apa itu PBS?
Jawapan :
Konsep PBS

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

2.  Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?
Jawapan :

Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.
   
3.  Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?
Jawapan :

Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.
     
4.  Bila PBS mula dilaksanakan?
Jawapan :

PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.
     
5.  Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?
Jawapan :

• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran      murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan             murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.
 
6.  Apakah standard prestasi?
Jawapan :
Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.
   
7.  Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?
Jawapan :   Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
• Pementoran
• Penyelarasan
• Pemantauan
• Pengesanan

• Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan.

• Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.
 
8. Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?
Jawapan :
Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base).
   
9.  Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?
Jawapan :   Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.
   
10.  Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?
 Jawapan :
 PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.
     
 11.  Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?
Jawapan :
Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi
   
12. Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?
Jawapan : 
Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.