Sekolah Menengah Agama Chenor

28100 Chenor, Maran, Pahang

PENGETUA-PENGETUA SMA CHENOR

SENARAI PENGETUA

  1. Dato Mahmud bin Mat Taib (1958 – 1963)
  2. Ustaz Hashim bin Osman (1963 – 1970)
  3. Ustaz Mohd Nordin bin Muhamad (1970 – 1973)
  4. Ustaz Ahmad bin Sicik (1973 – 1975)
  5. Ustaz Yusof bin Sulaiman (1975 – 1977)
  6. Ustaz Jamaluddin bin Awang Ngah (1977 – 1982)
  7. Ustaz Mahusin bin Sentol (1982 – 1994)
  8. Ustaz Abdullah bin Ahmad (1994 – 1998)
  9. Ustaz Abdul Karim bin Ahmad (1998 – 1999)
  10. Ustaz Razemi bin Kassim (1999 – 2006)
  11. Dr Nur Azizi bin Ismail (2007 – 2008)
  12. Ustaz Mohammad bin Ab Rahman (2008 – 2011)
  13. Ustazah Sharipah Hasaniah binti Syed Abd Rahman (2011 - 2020)
  14. En. Zulkifli bin Mohd Nor (2020-2022)
  15. Puan Aminah Murni binti Hassan (2023- sekarang)
 

SEJARAH AWAL

Nama asal sekolah ini ialah Madrasah Arabiah Islamiah Chenor yang diasaskan oleh Almarhum Dato’ Mahmud bin Mat Taib. Sekolah ini dibuka pada tahun 1958 dengan bilangan pelajar seramai 100 orang. Sekolah ini pada mulanya merupakan sekolah agama rakyat yang terletak bersebelahan Masjid Chenor Lama dipinggir Sungai Pahang.
 
Pada tahun 1964 bangunan baru dibina di lokasi sekarang yang terletak di Bandar Baru Chenor bersebelahan Masjid Jamek Chenor di bawah Rancangan Pembangunan Luar Bandar kerana bangunan lama sering dilanda banjir serta pertambahan bilangan pelajar. Pada 17 Julai 1967, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Haji Hussein Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar telah merasmikan bangunan Sekolah Menengah Agama Chenor (SMAC).

AMBILALIH SEKOLAH OLEH JAIP

Apabila kerajaan negeri Pahang mengambil alih beberapa buah sekolah agama rakyat maka Sekolah Menengah Agama Chenor turut diambil alih dengan menaikkan taraf sekolah ini kepada sekolah menengah agama. 

Pada tahun 1969 Sekolah Menengah Agama Chenor diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Pahang sehingga kini. 

Semenjak ditadbir di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang beberapa kemudahan dan kemajuan telah dicapai terutama dalam bidang pelajaran dan kemudahan asas seperti asrama pelajar, kantin dan rumah guru.

Asrama ini dikenali dengan nama Asrama Yayasan Pahang dan dirasmikan pembukaannya oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Orang Kaya Indera Shah Bandar Dato’ Mohamad Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 5 April 1985 bersamaan 14 Rejab 1405 Hijrah. 

Pada tahun 2002 dua buah bangunan baru telah dibuka iaitu bangunan puteri empat tingkat dan bangunan dewan makan dan kantin sekolah.

AMANAT PENGETUA

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera!

Sebagai pembuka kata, saya ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana diberi ruang dan kesempatan berharga ini. Syabas kepada Ahli Jawatan kuasa Laman Web SEKOLAH MENENGAH AGAMA CHENOR kerana mampu merealisasikan laman web rasmi sekolah. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga atas usaha dan komitmen yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan laman web SMAC.

              Di dalam merealisasikan Visi SMAC Cemerlang 2018, saya merasakan kita sudah berada di atas laluan yang tepat. Dari sudut akademik; pencapaian dalam Sijil Menengah Agama 2015 telah melonjakkan SMAC kekedudukan yang lebih baik dari sebelumnya dengan beberapa subjek yang menduduki tangga teratas di kalangan SMAN serta keputusan SPM 2014 dan 2015 yang menyaksikan SMAC berada di tempat kelima keseluruhan SMAN ditambah subjek yang mengungguli tempat teratas di kalangan SMAN membuktikan kita sedang melangkah kearah kecemerlangan.

               Ko-kurikulum juga menjadi bukti kesungguhan SMAC dalam mencapai Visi Cemerlang 2018. Pencapaian di MASISUPA Zon 2016 melalui penguasaan wakil-wakil SMAC di acara padang dan dewan sangat menyerlah sehingga menobatkan SMAC sebagai Johan Zon 3. Seterusnya dalam cabaran MASISUPA Peringkat Negeri, SMAC sekali lagi menampilkan daya juang yang tinggi berbekalkan latihan dan tunjuk ajar guru-guru yang ikhlas sehingga menobatkan Zon 3 sebagai Johan Keseluruhan MASISUPA Peringkat Negeri 2016.

               Di samping itu, kejayaan SMAC sebagai johan keseluruhan Pertandingan 4K (Kebersihan, Keceriaan, Kesihatan dan Kerohanian) Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang dua tahun berturut-turut; 2015 dan 2016 bukanlah satu perkara yang kecil.

                Kepada semua warga sekolah terutama pelajar-pelajar yang dikasihi, jadikanlah ini sebagai lonjakan untuk mencapai kegemilangan sepertimana yang telah ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Saya menyeru agar pelajar-pelajar SMAC sentiasa mempersiapkan diri dan minda dengan ilmu duniawi dan ukhrawi supaya dapat berhadapan dengan cabaran dunia globalisasi dan seterusnya mampu mencapai Wawasan 2020 dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

                 Kepada guru-guru dan kakitangan SMAC, saya berharap agar dapat berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan bagi menjana potensi murid ketahap yang optimum sekaligus memartabatkan sekolah ini sebagai institusi pendidikan cemerlang yang mampu melahirkan generasi terbilang minda kelas pertama yang dapat bersaing di persada antarabangsa.

                  Akhir bicara, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai sahsiah dan akhlak yang mulia. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga SMAC serta ibu bapa insya-Allah dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil. Semoga segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa mendatang.

Sekian, terimakasih. 

MISI, VISI DAN MOTO

MISI 
“MELAHIRKAN UMATYANG BERTAQWA MELALUI PENGURUSAN, PENGETAHUAN DAN PEMBELAJARAN 
YANG BERKUALITI BERLANDASKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH” 
 
VISI 
“SEKOLAH MENENGAH AGAMA CHENOR CEMERLANG PADA TAHUN 2018” 
 
MOTO 
“ILMU KESEMPURNAAN HIDUP” 
 
 
                                           



CARTA ORGANISASI

Carta Organisasi SMA Chenor, Maran