Program Tarbiyatul Jauhar

Seramai 42 alumni SM Agama Bukit Ibam merangkumi enam kohort (SPM tahun 2009 - 2014), telah bergabung tenaga bagi menjayakan program Tarbiyatul Jauhar yang telah diadakan selama tiga hari bermula 18 sehingga 20 Ogos 2017. Program berkonsepkan motivasi ini mensasarkan pelajar Tingkatan Satu dan Dua sebagai peserta.
 
Menurut Pengarah Program, saudari Nor Syafiqah binti Baharom, program ini dijalankan adalah untuk mencorak kembali gaya hidup pelajar sekolah menengah agama sama ada di asrama mahupun di luar. Selain itu, program ini juga menekankan aspek gaya pembelajaran yang betul bagi membantu peserta mengenalpasti gaya belajar yang sesuai bagi mereka. Saudara Muhamad Syamiezy bin Sidek yang juga merupakan Timbalan Pengarah Program, telah berkata bahawa persiapan program ini hanya berjalan selama tiga minggu sahaja. Tambahan, idea bagi menganjurkan program ini adalah hasil tinjauan dan laporan beberapa guru berdasarkan perbincangan permasalahan utama pelajar SM Agama Bukit Ibam.
 
GPK Hal Ehwal Pelajar SM Agama Bukit Ibam, Encik Ahmad Zamzamin dalam ucapannya pada Majlis Penutupan Program Tarbiyatul Jauhar, berharap agar program sebegini dianjurkan lagi pada masa akan datang bagi membantu guru-guru dalam menghasilkan permata legasi SM Agama Bukit Ibam yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, dan kokurikulum malah dalam aspek sahsiah.

Tag: motivasi Program Tarbiyatul Jauhar