Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

SULAMAN KASIH, JUNJUNGAN BUDI (MAJLIS PERSARAAN TUAN PENGETUA SMAKT)

Pada tanggal 9 Mei 2017 bersamaan  12 Sya’aban (1438)H yang lalu, telah diadakan satu majlis Sulaman Kasih Junjungan Budi sempena persaraan Tuan Pengetua iaitu Tuan Haji Mohamed Anuar Bin Abdul Rahman, AMP. Majlis berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Alam seolah-olah berbicara tentang perasaan sayu dan hiba seluruh warga SMAKT di atas persaraan Tuan Pengetua. Ini kerana, bagi kami beliau merupakan contoh dan ikon yang perlu diteladani sebagai seorang pentadbir, pendidik dan juga rakan sejawat yang mempunyai  akhlak begitu tinggi dan baik budi pekertinya. Itulah dia, Tuan Pengetua yang kami sayangi.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk Tuan Pengetua ke Datataran Al-Muttaqin dengan diiringi kumpulan bunga manggar dan kumpulan kompang. Kemudiannya Tuan Pengetua dipakaikan selempang dan tarbus oleh GPK I iaitu Cikgu Sofian Bin Sulaiman sebagai tanda penghargaan kepada Tuan Pengetua. Majlis diteruskan lagi dengan pergerakan masuk pasukan beruniform untuk acara tabik hormat dan pemeriksaan barisan oleh Tuan Pengetua.

Pelbagai acara persembahan telah diadakan bagi menyerikan lagi majlis tersebut seperti bacaan Al Quran, Al-Khairiah berselawat, nasyid, deklamasi sajak, pencak silat dan gimik persaraan. Pelbagai pihak telah tampil menghulurkan hadiah sebagai tanda ingatan atas sumbangan perkhidmatan beliau. Majlis disebelah pagi selesai dan berakhir dengan acara salam perpisahan bersama guru dan para pelajar.

Disebelah petangnya pula, telah diadakan acara lambaian terakhir sebagai simbolik Punch Card beliau yang terakhir. Selepas itu, Tuan Pengetua telah diarak menaiki Navara untuk mengelilingi Dataran sekolah buat kali terakhir sebelum beliau meninggalkan perkarangan sekolah. Para pelajar telah bersedia berdiri di kiri dan di kanan jalan untuk memberikan lambaian terakhir kepada beliau. 

Satu majlis makan malam sempena persaraan Tuan Pengetua telah diadakan di Hotel Sri Malaysia Temerloh bersama dengan guru-guru dan para jemputan VIP. Majlis telah diadakan disebelah malam. Selesai sesi ucapan dan bacaan sajak kami telah disajikan satu persembahan multimedia mengenai biodata Tuan Pengetua yang begitu menyentuh hati kami. Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan makan malam sebelum diakhiri dengan salam perpisahan. 

Walaubagaimanapun, seluruh warga SMAKT akan sentiasa mengingati sumbangan beliau dan mengucapkan selamat bersara. Semoga dapat berehat dalam keadaan aman dan tenteram. 

Selamat bersara tuan pengetua, semoga rahmat Allah mengiringi dan menaungi sepanjang kehidupan.

Tag: Sulaman Kasih Junjungan Budi smakt Aktiviti Persaraan Tuan Pengetua Majlis Persaraan & Perpisahan

0 komen

Sila berikan komen anda di sini