MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BAHASA ARAB : BAHASAKU & IDENTITIKU
17 Februari 2017, Jumaat : Satu majlis pelancaran bagi program Bahasa Arab telah pun berjaya dilancarkan di Dataran Al-Muttaqin, Sekolah Menengah Agama Al-khairiah. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Dato Syed Ibrahim B. Syed Ahmad, DIMP.,AMP.,AMN selaku Exco Dakwah Islamiyyah & Tugas-Tugas Khas Kerajaan Negeri Pahang. Moto bagi Majlis Pelancaran julung-julung kali diadakan ini ialah “Bahasa Arab : Bahasa Dan Identitiku”. Majlis ini telah dihadiri kira-kira 600 orang peserta yang terdiri daripada para tetamu jemputan, guru-guru dan juga para pelajar.
Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai minat dan suka kepada Bahasa Arab, bermotivasi dan mampu bertutur di dalam Bahasa Arab dengan menggunakan ungkapan yang betul dan fasih di dalam situasi yang betul.
Antara objektif program ini diadakan yang pertama adalah untuk memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pelajar secara praktikal kemahiran berbahasa Arab. Manakala objektif kedua pula agar pelajar dapat mempraktikkan komunikasi Bahasa Arab di dalam persekitaran sekolah bersama rakan-rakan dan guru-guru. Seterusnya objektif ketiga supaya dapat menghidupkan suasana dan persekitaran Arab di sekolah yang akan membantu dari segi motivasi dalaman kepada pelajar untuk bersungguh-sungguh mempraktik Bahasa Arab. Begitu juga dengan objektif yang keempat, semoga program ini dapat membantu pelajar secara tidak langsung di dalam peperiksaan STAM samada untuk ujian lisan mahupun bertulis.
Aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang perlaksanaan program ini seperti aktiviti praktikal ungkapan seharian dalam Bahasa Arab, pertandingan bercerita dalam Bahasa Arab, Sayembara puisi Arab, Penulisan Khat, dan program tahbeeb al-Lughah al-Arabiyyah serta pertandingan dan pertunjukan drama dalam Bahasa Arab.
Rasionalnya pemilihan Ikonik dari media sosial adalah kerana ia merupakan medium trending remaja di zaman teknologi. Boleh dikatakan kebanyakan dari mereka mempunyai akaun media sosial sekurang-kurangnya facebook. Oleh itu pengguna media ini harus menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk memperkasa penguasaan Bahasa Arab mereka seperti membuat update status dengan menggunakan Bahasa Arab, berkongsi gambar yang mempunyai unsur dan budaya Arab seperti pakaian, makanan, pemandangan dan segala yang berkaitan dengan Arab. Oleh itu, pemilihan Ikonik ini adalah tepat dan sentiasa dekat dengan pelajar yang dilihat sezaman dengan mereka.