AKTIVITI KELAB KESENIAN DAN KEBUDAYAAN SMAKT
11 Februari 2017, Sabtu: Satu lawatan sambil belajar ke Kuantan dan Pekan Pahang telah Berjaya dilaksanakan. Lawatan ini telah dianjurkan oleh Kelab Kesenian Dan Kebudayaan SMAKT. Ahli rombongan terdiri daripada 36 orang pelajar dan 6 orang guru pengiring. Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman serta memberikan pendedahan secara semulajadi kepada para pelajar berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan khususnya.
Peserta rombongan mula berkumpul di dataran sekolah seawal 6.45 pagi untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustazah Zamila bt Aziz selaku guru pembimbing dan ketua lawatan. Bas sekolah memulakan perjalanan pada pukul 7.00 pagi selepas taklimat dan bacaan doa agar selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Destinasi pertama peserta lawatan adalah ke Natural Batik Vallage yang terletak di Jalan Kemaman, Kampung Chengkol Lempong, Balok. Apa yang menariknya disini seusai taklimat dan melihat demo pemprosesan membuat batik, para peserta telah diberi kesempatan untuk mewarnakan sendiri mengikut kreativiti masing-masing kaftan batik yang telah disediakan oleh pihak Natural Batik. Keterujaan jelas terpancar diwajah para peserta, kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam mempelajari selok belok dalam proses mewarna batik.
Seusai makan dan solat perjalanan diteruskan ke lokasi yang kedua iaitu ke Muzium Pekan Pahang. Kehadiran para peserta telah disambut mesra oleh para petugas muzium. Selepas mendengar taklimat ringkas, para peserta dibawa ke dewan utama untuk menonton tayangan video mengenai Kegemilangan Tamadun Islam. Begitu menarik paparan video yang ditayangkan, kerana menampilkan bunyi dan watak-watak yang berjaya menarik perhatian para peserta untuk mengetahui jalan cerita yang benar-benar wujud dalam ilmu dunia ciptaan sains dan teknologi sehingga habis. Seterusnya peserta rombongan dibawa ke dewan pameran Kegemilangan Tamadun Islam, 1001 Invention. Disini, sekali lagi para peserta dapat merasai sendiri pengalaman dengan mencuba demo yang disediakan dalam menghasilkan Jam Jangkamasa, perubatan, pembinaan pernomboran dan lain-lain lagi.
Sebelum beredar daripada Muzium Pekan, Kelab Kesenian Dan Kebudayaan telah diberi Sijil oleh pihak Muzium sebagai Penghargaan dalam penyertaan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Muzium. Diharap lawatan ini dapat memberi motivasi dan semangat untuk bekerjasama kepada para peserta dalam proses PdP mereka.
0 komen