LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR TAHFIZ KE MAAHAD AN-NOER, JANDA BAIK

4 Feb 2017, Sabtu:  Seramai 6 orang guru pengiring dan 73 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tahfiz tingkatan 1dan 2 dari Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh, telah berjaya menyertai satu program lawatan ke Maahad Tahfiz An-noer yang terletak di Janda Baik Bentong, Pahang. Lawatan ini adalah di bawah anjuran Kelas Tahfiz SMAKT. 

Pertama kali menjejakkan kaki ke Maahad ini, para peserta begitu teruja dan kagum dengan pemandangan serta suasana disekeliling Maahad. Ini kerana, mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa Maahad ini mungkin biasa-biasa sahaja tanpa ada keistimewaannya. Namun, tanggapan mereka meleset sama sekali apabila tersergam satu pemandangan yang sangat indah dimana, Maahad An-noer kelihatan sungguh cantik, sekali pandang seperti sebuah resort bertaraf 5 bintang.

Menurut guru tahfiz SMAKT selaku ketua lawatan Ustazah Halimahtul Sha’adiah, objektif utama lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta pengalaman kepada peserta mengenai suasana dan cara pembelajaran pelajar-pelajar tahfiz di Maahad tersebut. Beliau juga telah menyatakan agar tujuan lawatan ini dapat memberi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk meningkatkan hafazan di samping perkongsian pintar berkenaan teknik hafazan yang digunakan oleh pelajar-pelajar Maahad An-noer.

Kehadiran para peserta telah disambut baik oleh Ustaz Fuad, selaku tenaga pengajar di Maahad tersebut. Menurut beliau Tahfiz ini di bawah naungan Ulama Tersohor dari Indonesia iaitu Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki. Seusai taklimat, para peserta dibawa melawat di sekitar Maahad dan merasai sendiri pengalaman pembelajaran di sana. Lawatan tersebut diakhiri dengan jamuan makan tengahari bersama-sama para pelajar Maahad An-Noer. 

Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat yang sangat berguna kepada para pelajar dalam PdP mereka nanti. 

Tag: smakt Tahfiz lawatan Aktiviti Kurikulum