Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

SULAMAN KASIH JUNJUNGAN BUDI (BERSAMA PELAJAR)

SMAKT – Satu majlis persaraan bersama-sama pelajar telah berjaya diadakan dengan meriahnya pada 23 November 2018 (Jumaat) baru-baru ini. Majlis ini diadakan sempena persaraan Cikgu Zainualriah binti Ibrahim, Ustazah Che Yah binti Saleh dan Puan Amimah binti Abdul Kadir (kakitangan) yang secara rasminya telah menamatkan perkhidmatan mereka di sekolah ini. 

Dalam majlis tersebut, kesemua yang dirai telah diarak dengan diiringi bacaan selawat menuju ke singgahsana yang tersergam indah. Selepas upacara gimik, yang dirai telah diberi peluang untuk memberikan ucapan sebagai bingkisan perpisahan. Majlis tambah berseri lagi dengan adanya persembahan sajak, nasyid serta penyampaian hadiah kepada yang dirai

Apa yang menariknya, salah seorang guru yang diraikan iaitu Cikgu Zainualriah binti Ibrahim yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5, telah berpeluang berkhidmat di sekolah ini bersama-sama dengan dua belas orang bekas anak didiknya sebagai rakan sejawat. 

Dilahirkan pada 10 Mei 1960, sepanjang tempoh perkhidmatan selama 38 tahun beliau telah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1994, 2003 dan 2010. Manakala pada tahun 2001, 2002, 2006, 2009, 2011, 2012 dan 2017 pula beliau telah dianugerahkan sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu SPM. 

Menurutnya, beliau sedih kerana terpaksa meninggalkan kerjaya perguruan yang sudah sebati dengan jiwanya. "Namun saya gembira kerana dapat mendidik anak bangsa menerusi kerjaya sebagai seorang guru," katanya dalam majlis meraikan persaraannya.

“Akan terus mengajar Al-Quran dan mengikuti pengajian kelas Tafaqquh,” itulah harapan Ustazah Che Yah selepas bersara nanti. Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Al-Ehya Al-Karim Tanjung Bidara, Masjid Tanah di Melaka. Di sekolah ini, beliau telah mengajar mata pelajaran Al-Quran bagi tingkatan 1 dan 2. Sepanjang tempoh perkhidmatan selama 21 tahun, beliau telah dianugerah sebagai Guru Cemerlang pada tahun 2012. 

Puan Amimah 60, merupakan seorang kakitangan yang turut dirai sempena persaraannya. Beliau telah berkhidmat selama 35 tahun di dua buah sekolah iaitu di SMA Pelangai (1983) dan di SMAKT (2003-2018). Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau juga telah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2007 dan 2017. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh demi membantu guru-guru melancarkan segala urusan.

Warga SMAKT amat berterima kasih kepada semua yang diraikan atas jasa dan bakti yang telah disumbangkan kepada sekolah ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang. 

Tag: 2018 perpisahan

0 komen

Sila berikan komen anda di sini