Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

KURSUS ASAS PENYEMBELIHAN

Tuntutan mendapatkan makanan yang halal menjadi satu perkara penting setiap Muslim di muka bumi ini tanpa mengira tua atau muda.

Pemakanan yang halal merupakan salah satu ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat, khususnya bagi perkembangan minda serta hati manusia, Pemakanan yang halal juga akan membuatkan Muslim itu bersifat baik dan mulia.

Penyembelihan hendaklah dilakukan oleh orang Islam yang sempurna akal, mengetahui rukun-rukun dan syarat-syarat sembelihan. Haiwan yang hendak disembelih mestilah haiwan yang halal dimakan dan penyembelihan harus menggunakan objek yang tajam.

Kaedah ini bertujuan meminimumkan kesakitan yang dialami binatang yang hendak disembelih. Kehalusan teknik-teknik penyembelihan ini sebagai melatih dan mendidik jiwa setiap muslim supaya bersifat ihsan, berdisiplin dan bertanggungjawab.

Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik kepada sesuatu. Oleh kerana itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihan itu. (riwayat Muslim).

Objektif kursus adalah memberi kefahaman kepada peserta mengenai konsep halal dan haram dari sudut Islam. Ia juga bertujuan untuk memantapkan kefahaman kepada peserta mengenai penyembelihan menurut konsep halalan toyyiban. Seterusnya dapat memberi pendedahan secara teori dan amali kepada peserta mengenai kaedah penyembelihan binatang menurut Islam dan memberi pendedahan tentang undang-undang atau peraturan- peraturan berkaitan dengan penyembelihan halal.

Tag: 2018 Aktiviti

0 komen

Sila berikan komen anda di sini