Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh

" Ilmu Suluh Hidup"

KQ 3 25 SEHINGGA 29 NOVEMBER 2016

Selasa, 29 Nov 2016: Seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tahfiz tingkatan 1, 2 dan 3 dari Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh telah menyertai satu program dibawah anjuran Kelas Tahfiz SMAKT yang dinamakan Perkampungan Al-Quran kali ke-3 ataupun ia lebih dikenali dengan nama Kampung Q. 

Program ini telah diadakan di perkarangan SMAKT bermula dari 25 sehingga 29 haribulan November 2016, ia berlangsung selama lima hari. Seramai 8 orang guru dan 11 orang fasilitator telah terlibat dalam program ini secara langsung dan tidak langsung.  Pelbagai program yang bermanfaat telah diatur bagi memenuhi ruang slot yang ada selama berjalannya program tersebut. 

Pendaftaran para peserta telah bermula seawal jam 5 petang pada hari Jumaat, 25 haribulan  yang lalu. Pada sebelah malamnya pula, seusai solat maghrib dan isyak para peserta telah diberi satu taklimat ringkas mengenai perjalanan aktiviti program yang akan mereka sertai sepanjang perkampungan tersebut. Pembahagian kumpulan juga telah dilakukan bagi memudahkan para peserta bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan.

Keesokan harinya seawal pukul 4.30 pagi, para peserta telah menyertai program Qiamullail kemudian diikuti dengan solat subuh, bacaan mathurat dan kuliah subuh. Slot 1 bermula pada pukul 8.30 pagi, dengan satu sesi ceramah yang bertajuk Pemantapan Ilmu Tajwid yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Felza Zulhibri Bin Abd Hamid. Manakala ceramah yang bertajuk Sejarah Penulisan Al-quran memenuhi ruang untuk Slot ke 2, yang mana ia bermula pada pukul 2 petang. Ceramah ini juga disampaikan oleh Ustaz Felza. Untuk Slot ke 3, Ustazah Farah Liyana Binti Jaafar telah mengambil alih program dengan satu sesi ceramah motivasi yang bermula pada pukul 9.00 malam seusai solat isyak.

Pada hari Ahad, 27 haribulan slot ke 4 dipenuhi dengan program motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Amirudin Bin Md Nor. Beliau juga merupakan penceramah yang dijemput khas bagi menyampaikan ilmu motivasi kepada para peserta pada hari tersebut. Selepas para peserta berehat dan solat,  Ustaz Shafie telah menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk Pengenalan Kepada Ilmu Tarannum bagi memenuhi Slot ke-5. Banyak ilmu serta kemahiran bertarannum yang telah diperturunkan kepada para peserta bagi memantapkan lagi bacaan Al-Quran mereka. Latihan Dalam Kumpulan (LDK) memenuhi ruang slot ke-6. Disebelah malamnya pula, satu Pertandingan  Tahfiz Muda mengambil alih untuk slot ke-7. Pertandingan ini telah berlangsung dengan penuh debaran. Masing-masing telah menunjukkan bakat dalam membaca dan menghafaz ayat Al-Quran. Hakim dalam pertandingan ini seramai tiga orang iaitu Ustaz Muhaimin B. Dato Hj Sulaiman, Ustaz Arif Hafizuddin B. Lazli dan Ustaz Syafiq B. Ibrahim. Para hakim merupakan tenaga pengajar yang berkebolehan dalam bidang Al-Quran di SMAKT.

Pengurusan Jenazah Dan Praktikal Wudhuk & Tayammum telah diadakan pada slot ke 8. Slot ini telah dibuat di Masjid Ubudiah, Batu Satu. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Abd Rahman. Beliau merupakan tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengalaman dalam proses pengurusan jenazah. Semua para peserta mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Selesai slot 8, para peserta didedahkan pula dengan teknik laungan azan dalam slot ke-9. Bengkel Azan & Iqamah ini telah telah disampaikan oleh penceramah jemputan yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Shukri B. Mohd Soh. Beliau merupakan Bilal di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Satu pengalaman baru bagi para peserta khususnya peserta lelaki mendalami ilmu laungan azan. Ini kerana terdapat berbagai teknik lontaran dan kawalan suara dan pernafasan yang sesuai untuk melaungkan azan yang terbaik. Penutup aktiviti untuk hari Isnin, 28 haribulan adalah Latihan Persembahan Pelajar yang memenuhi ruang slot ke-10. Aktiviti ini dipandu oleh Fasilitator sepenuhnya.

                Apa yang diharapkan selepas berakhirnya program perkampungan Q pada hari Selasa, 29 haribulan November, semua para peserta dapat memperolehi ilmu yang sangat bermanfaat dan berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan harian serta dipraktikkan dalam pembacaan dan mendalami ilmu Al-Quran.  

Tag: Tahfiz smakt Aktiviti

1 komen

Halimahtul Sha'adiah

2016-11-29 03:57:30 UTC

moga bermanfaat.

Sila berikan komen anda di sini