Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan

'MEMACU IHSAN KE PUNCAK SMAN'

LENSA ASRAMA | SEMAKIN HARI SEMAKIN SAYANG

KUANTAN – Pengurusan Asrama Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan telah menganjurkan satu Program Keluarga Angkat bagi sesi 2017. Program ini telah dilancarkan dalam satu Majlis Suai Kenal Keluarga Angkat yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Lebai Idris Bin Ali, Penolong Pengarah Unit Ko-kurikulum dan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Agama Islam Pahang pada 22 Januari 2017 bertempat di Dewan ad-Daraquthni.
 
Program ini merupakan program tahunan asrama dan diteruskan lagi pada tahun ini kerana telah mencapai objektif yang digariskan untuk program yang sama pada tahun-tahun sebelum. Program ini melibatkan penyertaan daripada semua pelajar Tingkatan 5 seramai 74 orang dan Tingkatan 1 seramai 57 orang yang masing-masing terdiri daripada lelaki dan perempuan. Antara objektif utama program ini adalah untuk menyekat dan menghapuskan semua budaya negatif yang berkecenderungan untuk berlaku di asrama termasuklah gejala buli yang semakin menular dalam kalangan remaja pada hari ini.
 
Kerjasama yang erat dan pemantauan secara berterusan antara pengurusan asrama dengan pihak sekolah melalui Unit Hal Ehwal Pelajar akan menjadikan program seperti ini berjaya mencapai objektif yang diinginkan dan pihak sekolah amat berharap nilai kasih sayang yang diterapkan melalui program akan mencetuskan suasana pembelajaran dan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar ke arah memacu perubahan kecemerlangan pendidikan di sekolah.

Tag: asrama

0 komen

Sila berikan komen anda di sini