AMANAT PENGETUA
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang dan kesempatan berharga ini. Syabas kepada Ahli Jawatankuasa Laman Web SMA AL-IHSAN, KUANTAN kerana mampu merealisasikan laman web rasmi sekolah. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga atas usaha dan komitmen yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan laman web SMA AL-IHSAN, KUANTAN. Terima kasih juga kepada SUK dan PIBG yang menyokong penuh usaha murni ini.
Kepada semua warga terutama pelajar-pelajar yang dikasihi, mulakanlah tahun ini sebagai tahun untuk mencapai kegemilangan seperti mana yang telah ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Kepada pelajar-pelajar SMAI, saya menyeru agar sentiasa mempersiapkan diri dan minda dengan ilmu duniawi dan ukhrawi supaya dapat berhadapan dengan cabaran dunia globalisasi dan seterusnya mampu mencapai wawasan 2020 dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kepada seluruh warga SMA AL-IHSAN, KUANTAN, saya berharap agar dapat berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan agar dapat menjana potensi murid ke tahap yang optimum sekaligus memartabatkan pendidikan agama sebagai institusi pendidikan cemerlang yang mampu melahirkan generasi terbilang minda kelas pertama yang dapat bersaing di persada antarabangsa.
Akhir bicara, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai sahsiah dan akhlak yang mulia. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga SMA AL-IHSAN, KUANTAN serta ibu bapa sudah tentu dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil. Semoga segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa mendatang.
Sekian, terima kasih.
ZAIDI BIN ISMAIL