Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-dini

AMANAT PENGETUA

       Alhamdulillah. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas pelancaran laman web rasmi Ma'ahad as-Sultan Ahmad Shah ad-Dini. Kewujudan laman web ini amat penting dalam memastikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai sekolah dapat dikongsi bersama warga pendidik, pelajar, ibu-bapa dan masyarakat setempat. Ini selaras dengan visi dan misi sekolah untuk memberi pendidikan yang berkualiti dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah, serta mewujudkan iklim sekolah yang kondusif berdasarkan pengurusan efektif.

      Tahun 2016 dan seterusnya bidang pendidikan menjadi lebih mencabar. Dasar-dasar dan perancangan pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang dan Kementerian Pelajaran Malaysia perlu difahami dan dilaksanakan di peringkat sekolah. Pembelajaran pada masa kini sedang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Transformasi pendidikan mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya matlamat melahirkan modal insan holistik dapat direalisasikan.

      Tugas utama yang diamanahkan kepada kita adalah melaksanakan semua dasar pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang. Setiap orang guru mesti berusaha mencapai matlamat yang telah digariskan ini. Di tangan  merekalah lahir modal insan bertaraf dunia. Sebelum hal ini dapat direalisasikan ia mesti bermula daripada kita sebagai guru. Perspektif kita mengenai pelaksanaan proses pembelajaran dan pengajaran mesti berubah. Tugas guru sebagai fasilitator, perancang pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan KBAT mesti diamalkan. Peranan guru berfokus pada melahirkan pengalaman kreatif dan inovatif dalam proses pembelajaran dan pengajaran amat dituntut.

      Semoga tanggungjawab dapat ditunaikan dengan penuh keikhlasan hati selaras dengan misi dan visi Jabatan Agama Islam Pahang. Saya amat berharap agar kita sama-sama mengatur langkah untuk mencapainya. Budaya kerja berpasukan mesti diamalkan. Apa yang penting kecemerlangan anak didik kita secara holistik dan modal insan taraf dunia dapat dilahirkan selaras dengan hasrat kewujudan sekolah-sekolah menengah agama kerajaan negeri Pahang.

       Akhir sekali, marilah kita terus berusaha gigih dan menjadikan motto kita BERILMU, BERAMAL, BERTAQWA sebagai penjana kecemerlangan. Insya Allah kejayaan milik kita bersama. 

SEJARAH SEKOLAH

          Terletak berhampiran dengan Institut Teknologi MARA ( UITM), Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini atau Ma’ahad SAS adalah satu-satunya sekolah menengah agama yang terdapat di Bandar Jengka ini. Nama Ma’ahad ini merupakan satu-satunya gelaran yang diberikan kepada Sekolah Agama Kerajaan Negeri di negeri Pahang ini.

            Pada tahun 1985, Ma’ahad ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Jengka Pusat (SMAJP). Bangunan SMAJP ini pada mulanya terletak di kawasan perumahan Desa Jaya dan merupakan bangunan yang disewa khas oleh Jabatan Agama Islam Pahang dari Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Bangunan ini menempatkan kelas, pejabat, bilik gerakan, dan asrama. Ketika itu warga SMAJP berada dalam keadaan serba kekurangan di samping bangunan yang terletak di tengah-tengah perumahan Desa Jaya.

            Selain daripada bangunan yang disewa tersebut, terdapat beberapa kemudahan fizikal yang di dalam kawasan SMAJP ini. Antaranya ialah sebuah bangunan sumbangan ihsan LKWJ. Dengan adanya bangunan ini, maka ia dapat digunakan untuk menempatkan kelas, kediaman guru dan stor. Selain dari itu terdapat sebuah bangunan kayu yang mengandungi kelas dan surau. Hasil daripada usaha gotong royong juga terbinalah dua bangunan tandas dan bilik mandi untuk kemudahan pelajar asrama SMAJP. Selain dari itu pelajar-pelajar dan guru-guru juga disediakan sebuah kantin yang juga berfungsi sebagai dewan makan asrama.

            Pada awal penubuhan SMAJP bilangan pelajar yang memasuki sekolah ini adalah seramai 119 orang pelajar kelas peralihan dengan tenaga pengajar seramai 3 orang. Jumlah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Peluang untuk pelajar adalah terhad di mana sekolah ini hanya mampu menyediakan kelas sehingga tingkatan 3 sahaja. Selepas tamat SRP (PMR) mereka akan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 di sekolah lain.

            Dalam mengharungi keadaan yang serba kekurangan ini, SMAJP sebenarnya telah dijanjikan sebuah kompleks yang serba lengkap dan canggih yang masih dalam pembinaan. SMAJP mengharapkan kompleks tersebut disiapkan secepat yang mungkin. Namun kompleks yang dijangka siap pembinaannya pada tahun 1995 masih tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan pelbagai masalah yang melanda

             Pada bulan Januari tahun 1996, kawasan perumahan Desa Jaya ditinggalkan buat selamanya dan seluruh warga SMAJP berkampung di Kompleks yang serba canggih ini walaupun sebenarnya ia masih dalam proses terakhir pembinaan. Selepas beberapa bulan kompleks ini siap sepenuhnya dengan kos perbelanjaan melebihi 10 juta ringgit.

Ma’ahad SAS Bergerak Maju

            Tahun-tahun berikutnya menyaksikan perkembangan dan kemajuan Ma’ahad SAS dari sudut pelajaran dan peperiksaan. Pencapaian yang memberangsangkan dari tahun ke tahun, hasil usaha kerjasama yang erat antara pihak sekolah di bawah pentadbiran Tuan Haji Mohammed dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG). Keupayaan Ma’ahad menonjol dengan lebih cemerlang dari sudut pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan persijilan menyebabkan ia mula disegani, terutamanya oleh sekolah-sekolah menengah di bawah kementerian pendidikan.

            Dengan prasarana yang lengkap dan canggih, Ma’ahad SAS sebenarnya masih menanti saat-saat untuk menempa dirinya ke dunia luar dengan lebih meyakinkan lagi. Saat yang dinantikan hampir tiba apabila timbul desas-desus yang menyatakan kompleks yang serba lengkap ini akan “dicukur kepala dan diberi nama” dalam satu upacara perasmian.

            Tahun 1999 adalah tahun keramat bagi Ma’ahad SAS apabila pada bulan April akan diisytiharkan satu majlis gemilang iaitu perasmian kompleks Ma’ahad SAS. Berbagai aturcara dan persiapan dibuat sehingga PIBG terpaksa turun padang dengan lebih kerap dan agresif. Gotong royong demi gotong royong dan disusuli dengan gotong royong perdana anjuran PIBG telah dibuat pada 21hb Mac 1999.

            Pada 2hb April satu mesyuarat khas PIBG telah diadakan sebagai langkah dan kesepakatan terakhir sebelum tiba detik bersejarah tersebut. Pada 4hb April satu lagi gotong royong diadakan dengan kawasan kerja meliputi keseluruhan kompleks Ma’ahad SAS.

            Perbincangan dan mesyuarat samada antara pihak Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, wakil-wakil Jabatan dan agensi, Protokol, JAIP, PIBG dan sekolah telah diadakan demi melancarkan upacara gemilang tersebut. Setelah ditangguh untuk beberapa hari, akhirnya tanggal 7hb April telah dipilih apabila KDYMM melengkapkan siri lawatannya ke Daerah Maran dengan merasmikan kompleks baru Sekolah Menengah Agama Jengka Pusat ini. Terukirlah nama Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini di plak perasmian apabila tirai disingkap oleh baginda dalam upacara gemilang tersebut.

            Turut hadir di upacara tersebut adalah KDYMM Sultanah Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob yang mewakili Menteri Besar ketika itu, dif-dif kehormat, wakil-wakil seluruh agensi Negeri Pahang dan penduduk tempatan.

            Semoga Ma’ahad SAS akan lebih mantap dan yakin di hari-hari mendatang. Syabas, Mabruk dan Bravo untuk Ma’ahad SAS serta seluruh warganya.

VISI, MISI, MOTTO DAN PIAGAM PELANGGAN

VISI

MA'AHAD AS-SULTAN AHMAD SHAH AD-DINI MENJADI 
SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI PAHANG
CEMERLANG MENJELANG 2026

MISI
 
MEMBERI PENDIDIKAN ISLAM KEPADA PELAJAR MELALUI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG BERKESAN. MELAHIRKAN PELAJAR YANG BERSAHSIAH MULIA DAN BERKETRAMPILAN SERTA TADBIR URUS ORGANISASI YANG BERKUALITI

MOTTO

BELAJAR BERAMAL DAN BERBAKTI


PIAGAM PELANGGAN

1) MEMBERI PENDIDIKAN ISLAM YANG SEBAIK-BAIKNYA KEPADA PELAJAR-PELAJAR BAGI MELAHIRKAN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG BERJAYA. 

2)MENINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN GURU-GURU DAN KAKITANGAN.

3) MEWUJUDKAN SIKAP MESRA PELANGGAN SEMASA MELAKUKAN SETIAP URUSAN.

4) MENYEDIAKAN FASILITI YANG LENGKAP DAN SELESA BAGI MELANCARKAN URUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

5) MELAHIRKAN PELAJAR YANG BERSAHSIAH TINGGI DAN BERPEGANG TEGUH KEPADA AJARAN AGAMA. 

CARTA ORGANISASI

Carta Organisasi