ANUGERAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN 2017
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengiktiraf pelajar dan guru cemerlang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang kali-16 2017.
Majlis yang berlangsung di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang dirasmikan Exco Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Majlis yang berlangsung di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang dirasmikan Exco Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Seramai 670 penerima menerima anugerah dalam pelbagai kategori iaitu; Pelajar Cemerlang Akademik, Guru Cemerlang Mata Pelajaran, Sekolah Cemerlang Akademik, Sekolah Cemerlang Kokurikulum, Pertandingan 4K (kebersihan, keceriaan, kerohanian dan keselamatan) dan Tokoh Guru.
Seramai 325 penerima anugerah Cemerlang Sijil Menengah Agama (SMA), 88 penerima sijil kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 47 Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 43 pelajar Malaysian University English Test (Muet).
Pada majlis sama, dua bekas guru, Seman @ Jabar Nit dan Fatimah Yahya dinobat Tokoh Guru 2017 masing-masing menerima wang tunai RM2,500, pakej umrah RM12,000 berserta sijil dan hadiah iringan.
Dalam kategori pertandingan 4K, Sekolah Menengah Agama Chenor dinobatkan johan keseluruhan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000. Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus, Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), Datuk Yahya Zainal Abidin dan Pengarah JAIP, Datuk’ Mohamad Noor Abdul Rani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIP, Ust. Abu Bakar Mat Saad.