PROGRAM PENYAMPAIAN UCAPAN KETUA POLIS NEGARA

3 Januari 2020 | 8 Jamadil Awal 1441H
 
JERANTUT, “Sebagai seorang pelajar, anda mesti bertanggungjawab dalam usaha menuntut ilmu dan jauhilah segala aktiviti jenayah “, kata Sarjan Roslan bin Salikin dari IPD Jerantut, Pahang. Sarjan Roslan bin Salikin telah hadir di SMA Pulau Tawar untuk menyampaikan ucapan daripada Ketua Polis Negara. Ucapan telah disampaikan pada jam 8.00 pagi untuk program khas perhimpunan pagi Jumaat. 
 
Beliau juga menasihati kepada pelajar-pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah agar berusaha mendapatkan lesen memandu. Selain itu para pelajar dilarang melakukan ubahsuai motosikal. Pelajar-pelajar yang lebih senior jangan membuli pelajar-pelajar baru khasnya. Pelajar-pelajar juga dinasihati agar tidak mencuba atau menghisap vape dan rokok. Kepada pelajar perempuan pula beliau menasihati agar dapat menjaga maruah diri. Jangan terjebak dengan pemasalahan gejala sosial yang semakin menular pada hari ini. 
 
Para pelajar juga dikehendaki untuk berfikir dengan bijak serta lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial agar tidak tertipu dengan scammer ( penipuan dalam talian) yang semakin berleluasa di Malaysia.Mereka boleh menyamar menjadi polis atau ahli majistret untuk menipu mangsa. Pelajar-pelajar sangat ditegah untuk mencuba mengambil dadah seperti menghidu gam , rokok dan sebagainya kerana ianya boleh mendatangkan mudarat serta boleh memburukkan masa hadapan seseorang pelajar.
 
Program diakhiri dengan penyampaian cendera hati daripada pihak sekolah kepada Sarjan Roslan bin Salikin. Beliau juga sempat beramah mesra dengan para pelajar. Didoakan semoga pelajar-pelajar SMA Pulau Tawar dapat mendidik diri menjadi pelajar yang bersahsiah dan berwawasan.
 
Disunting oleh Muhammad Aliff Hakimi Juhary ( Tingkatan 5 Al-Kindi)
 

Tag: #2020BERITA