13 rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang (bahagian III)

                                 13 Rahsia untuk Menjadi Pelajar Cemerlang (bahagian III)

 

10.       Konsisten & Istiqomah
 
Pelajar yang cemerlang sentiasa konsisten dan istiqomah dalam belajar. Mereka sentiasa stabil dalam kerajinan mereka dalam belajar bukannya sekejap rajin dan sekejap malas. Mereka akan belajar secara berterusan dan mampu melawan perasaan malas mereka. Ini biasanya akan berlaku jika mereka sentiasa ingat mengenai matlamat dan sasaran yang mereka telah tetapkan dan mampu memberi semangat kepada diri mereka sendiri. Ini adalah salah satu kepentingan untuk mempunyai kumpulan belajar yang menetapkan sasaran yang sama, dimana ahli kumpulan akan saling memberi semangat dan peringatan kepada ahli kumpulan yang lain. Istiqomah bermaksud mereka akan cuba untuk mencapai sasaran yang telah mereka tetapkan dalam jadual pembelajaran mereka, contohnya dalam sehari mereka telah menetapkan untuk menjawab 50 soalan objektif berkaitan subjek-subjek tertentu dan mereka akan sedaya upaya mereka akan memenuhi sasaran tersebut

 

11.       Persistent
Persistent bermaksud pelajar yang cemerlang tidak akan berputus asa untuk menyelesaikan sebarang masalah atau ketidak fahaman mereka dalam pembelajaran mereka. Mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah mereka mungkin dengan cara bertanya kepada mereka yang lebih faham contohnya rakan-rakan mereka ataupu  guru mereka. Mereka juga rajin membuat rujukan samada menggunakan buku rujukan, buku teks atau melalui internet

 

12.       Sanggup berkorban

Pelajar yang cemerlang sanggup mengorbankan keseronokan mereka bersosial untuk belajar. Mereka sanggup meninggalkan aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain game, berhibur dan bersosial dengan kawan-kawan. Mereka belajar lebih lama berbanding kawan-kawan mereka, lebih gigih, lebih bersungguh-sungguh. Mereka juga sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan buku-buku rujukan, tuisyen dan bahan-bahan tambahan yang boleh membantu mereka dalam pelajaran mereka. Mereka juga mengelakkan diri dari terlibat dalam cinta monyet yang akan melalaikan mereka.

 

13.       Agama nombor Satu

Bagi pelajar yang beragama Islam mereka faham akan konsep belajar sebagai satu ibadah. Mereka juga sedar akan kepentingan mendapat redha ibubapa dan guru mereka untuk mendapatkan keberkatan dalam pelajaran. Mereka melaksanakan ibadah harian yang ditetapkan oleh agama dan sentiasa berdoa supaya kehidupan mereka sentiasa diberkati dan diberikan kejayaan oleh ALLAH. Mereka berpegang pada konsep tawakkal yang sebenar iaitu berusaha dan berdoa dalam pembelajaran mereka.

 
rujukan:
Tengku Asmadi PhD. Motivasi Alihan Pelajar. PTS Milennia SDN.BHD. 2015

Tag: PKP kelas online SMAM 2020