13 rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang (bahagian II)

                                 13 Rahsia untuk Menjadi Pelajar Cemerlang (bahagian II)

5.       Strategi Belajar
 
Strategi belajar yang berkesan dan teknik belajar yang mantap perlu diamalkan oleh pelajar untuk berjaya. Teknik belajar seperti teknik mengingat dan teknik mengambil nota yang berkesan adalah diperlukan untuk menjadikan pembelajaran lebih berkesan. Pelajar juga sebaik-baiknya belajar dalam kumpulan yang boleh menjadikan sesi pembelajaran lebih seronok dan menjimatkan masa kerana banyak input boleh dikongsikan oleh ahli-ahli kumpulan. Pembelajaran bersama rakan sebaya juga boleh membantu menyelesaikan banyak ketidak fahaman terhadap sesuatu topic kerana setiap ahli kumpulan pasti akan mempunyai kelebihan masing-masing dalam topic atau subjek tertentu.
 
6.       Menjaga Masa
 
Masa adalah satu factor yang perlu dijaga oleh pelajar-pelajar yang ingin cemerlang. Adalah digalakkan untuk pelajar tidak menunggu ke saat terakhir untuk mengulangkaji. Pelajar perlu mempunyai jadual harian dan jadual belajar untuk mengelakkan pembaziran masa berharga berlaku. Jadual harian merujuk kepada jadual aktiviti pelajar sepanjang hari seperti aktiviti sekolah, tuisyen, ulangkaji, rehat, bermain dan berkawan. Jadual belajar pula merujuk kepada jadual khas yang digunakan untuk merancang pembelajaran pelajar seperti subjek apa yang mahu dipelajari, bab berapa, berapa lama masa belajar, berapa banyak yang mahu dibaca dan sebagainya. Kepatuhan kepada jadual yang telah ditetapkan dari awal lagi pasti akan mengelakkan stress apabila hampir ke tarikh peperiksaan.

 

7.       Pergaulan

Pelajar yang cemerlang biasanya berbaik-baik dengan semua orang yang boleh mengelakkan stress disebabkan konflik social. Walau bagaimanapun, pelajar cemerlang biasanya mempunyai hanya beberapa rakan karib yang berkongis matlamat dan saling bantu membantu antara satu sama lain untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama. Perkongsian ilmu Antara mereka boleh menjimatkan masa belajar, meningkatkan kefahaman dan juga ingatan.

 

8.       Pemantauan

Pelajar yang cemerlang sentiasa memantau prestasi mereka sendiri dan menjalankan post mortem untuk mencari kelamahan mereka secara berkala dan sistematik. Mereka juga tahu cara untuk memperbaiki kelemahan mereka contohnya dengan merujuk kepada bahan rujukan yang ada atau bertanya kepada guru. Mereka tidak menangguhkan masa untuk menyelesaikan setiap masalah atau ketidak fahaman yang mereka hadapi.

 

9.       Hubungan Baik Dengan Guru
 
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga hubungan baik mereka dengan guru dan tidak segan untuk berjumpa dan bertanya kepada guru untuk menyelesaikan masalah atau ketidak fahaman mereka. Mereka tahu apa yang hendak ditanya dan cara memanfaatkan khidmat guru kepada mereka. Walau bagaimanapun mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada guru dimana mereka juga boleh berdikari untuk meningkatkan sendiri penguasaan mereka terhadap sesuatu subjek.

Tag: PKP kelas online SMAM 2020