Inspirasi Dari Tokoh Islam: Kisah Teguran Perompak Menjentik Jiwa Imam Al-Ghazali

     Di sebuah perkampungan bernama Ghazalah, Thus iaitu di dalam wilayah Khurasan lahirnya bayi lelaki yang diberi nama Al-Ghazali. Keluarganya bukanlah tergolong dalam kalangan orang berada akan tetapi mereka kuat pegangan agamanya.Ayahnya merupakan seorang penenun bulu dan memiliki sebuah kedai di pekan Thus. Walaupun hidup sederhana, ayahnya ini seorang yang sangat merendah diri bahkan soleh. Dia tidak mahu mensia-siakan hidup Al-Ghazali.Lalu, dibawanya Al-Ghazali menemui Imam Ahmad Al-Razkani seorang guru merangkap ulama di kampung mereka. Daripada ulama tersebut, Al-Ghazali mempelajari pelbagai aspek ilmu antaranya ilmu fiqh, hafalan Al-Quran, tatabahasa Arab, ilmu hisab, fiqh dan sebagainya.

     Setelah bapanya wafat, Al-Ghazali membuat keputusan untuk meneruskan pembelajarannya di Jurjan.Di sana, Al-Ghazali berguru dengan Syeikh Ismail bin Saadah Ismail. Setiap ilmu yang diperolehi daripada gurunya itu pasti akan dicatat. Hal ini dilakukannya selama lima tahun.Setelah bertahun-tahun mengembara ke tempat orang untuk menimba ilmu, akhirnya Al-Ghazali memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya.Segala catatan yang telah ditulis sepanjang pengajiannya itu disusun dan dikumpul lalu dimasukkan ke dalam satu beg yang dibawa bersama.

     Dalam perjalanannya, secara tiba-tiba Al-Ghazali ditahan oleh beberapa orang perompak dan mereka merampas segala barangan yang dibawa oleh Al-Ghazali.Tatkala salah seorang perompak sedang menggeledah barangan Al-Ghazali, tiba-tiba sambil menunjukkan satu beg beliau berkata;

 “Wahai perompak, kalian boleh mengambil semua baranganku tetapi tidak boleh ambil yang ini.”

   Perompak itu pun kehairanan lalu saling berpandangan antara mereka. Menurut mereka, apa yang tidak boleh diambil itu pasti isinya lebih berharga dari yang lain.Lalu, mereka pun berebut mengambil beg tersebut lalu membuka isinya. Alangkah terkejutnya mereka kerana tiada apa-apa yang istimewa di dalam beg tersebut melainkan hanya kertas-kertas yang hitam. Salah seorang perompak itu bertanya;

 “Wahai pemuda! Untuk apa engkau menyimpan kertas-kertas buruk ini?”

Al-Ghazali berkata;

 “Itulah barang-barang yang paling berharga dalam hidupku dan tidak bernilai bagi diri kalian.”

 Perompak itu bertanya lagi ingin tahu;

 “Untuk apa kertas-kertas ini?”

 Jawab Al-Ghazali;

 “Ini adalah hasil pembelajaranku selama bertahun-tahun. Jika kalian merampasnya, maka hilanglah ilmu yang ada padaku dan sia-sialah segala usaha yang aku lakukan selama ini.”

 Bertanya salah seorang dari mereka lagi;

 “Apa? Ilmu engkau selama bertahun-tahun hanya lembaran-lembaran ini sajakah?”

 Jawab Al-Ghazali;

 “Ya, benar.”

 Perompak itu berkata lagi;

 “Wahai pemuda, ilmu yang disimpan di dalam bungkusan dan dapat dicuri sebenarnya bukanlah ilmu. Fikirkanlah hal ini sebaiknya.”

   Beliau tidak menyangka kejadian rompakan itu benar-benar mengubah persepsi dan pemikirannya selama ini. Sejak itu, Al-Ghazali nekad untuk menghafal segala ilmu yang dipelajarinya lalu disimpan dalam ‘otaknya’, bukan hanya disimpan di lembaran kertas sahaja.Siapa sangka, tindakan dan perubahan yang dilakukan oleh Al-Ghazali hasil teguran perompak tersebut benar-benar mengubah dirinya.

     Kini, beliau dikenali seantero dunia sebagai pakar dalam pelbagai bidang ilmu Islam bahkan, dianggap sebagai ‘ensiklopedia’ pada zamannya.Karya beliau yang terkenal ialah Ihya Ulumuddin, Bidayatul Hidayah, Minhajul Al-Abidin dan banyak lagi.

   Pada pagi Isnin, 14 Jamadil Akhir 505 H bertempat di Thus, beliau akhirnya wafat dengan kitab hadis berada di atas dadanya. Jenazahnya dikebumikan di makam Al-Tabaran.

    Mudah-mudahan, segala usaha dan sumbangan yang dilakukan oleh Al-Ghazali sepanjang hayatnya memberikan manfaat buat masyarakat terkemudian. Semoga Allah s.w.t merahmati kehidupan dunia dan akhiratnya. Wallahua’lam.

 

Penulis:

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dipetik dari laman web:

https://tazkirah.net/kisah-teguran-perompak-menjentik-jiwa-imam-al-ghazali/

Semoga kisah di atas memberi kesedaran kepada kita bukan sahaja mengenai kepentingan ilmu, tetapi juga tentang kepentingan memahami dan mengingati ilmu itu dalam minda kita. Di sini juga menunjukkan bahawa Imam Ghazali sangat tinggi akhlaknya dan sangat tawadduk dimana beliau mengambil mengajaran dari kata-kata perompak yang mungkin kebanyakkan kita menganggap sebagai orang yang jahat, jahil dan hina. Wallahuaklam.

Tag: imam al-ghazali 2018