MAJLIS DISKUSI ILMIAH & IFTAR JAMAEI PERDANA 2018

SMAKT – Pihak sekolah telah berjaya menganjurkan satu Majlis Diskusi dan Iftar Jamaei Perdana pada hari Khamis, 7 Jun 2018 bersamaan 22 Ramadhan 1439H di Dataran Al-Muttaqin SMAKT yang lalu. Majlis ini juga turut dihadiri guru-guru, kakitangan sekolah dan juga tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli jawatankuasa PIBG SMAKT bersama keluarga masing-masing. Antara menu yang telah disediakan oleh pihak penganjur adalah seperti nasi arab, kuih-muih, kurma dan juga minuman.

Majlis telahpun bermula seawal jam 5.30 petang dan dimulai dengan acara khatam Al-Quran, kemudian disusuli dengan acara diskusi ilmiah yang bertajuk Nuzul Al-Quran dan Badar Al-Kubra yang telah disampaikan oleh Ustaz Badrul Hisham Bin Abdul Aziz. Sebelum masuknya waktu berbuka, semua warga SMAKT bersama-sama bermunajat dan membaca doa iftar yang diketuai oleh Ustaz Firdaus Bin Azmy.

Selepas majlis berbuka puasa berakhir, semua warga SMAKT telah mendirikan solat maghrib secara berjemaah dan disusuli dengan acara tahlil ringkas. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan acara penyampaian bantuan kepada asnaf (anak yatim / miskin) yang telah disampaikan oleh tuan pengetua SMAKT iaitu Ustaz Zaidi Bin Ismail. Solat Isyak dan solat tarawikh didirikan secara berjemaah pula mengambil alih acara dan diakhiri dengan sedikit jamuan ringan (more) kepada semua tetamu yang hadir. 

Semoga program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga SMAKT khususnya. Insya Allah kita akan bertemu lagi dengan Bulan Ramadhan pada masa akan datang 

Sesungguhnya Bulan Ramadhan adalah tetamu agung dari Allah untuk umat Islam menambah amalan demi meraih ganjaran dan ketaqwaan yang dijanjikan Allah Taala. Amalan sunat seperti solat sunat tarawikh, tadarus al-Quran, tazkirah, iftar jamaie, sedekah dan seumpamanya adalah amat digalakkan dilaksanakan khususnya di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak.

Tag: 2018 Iftar Perdana