LENSA SEKOLAH | SEKOLAH AGAMA MENJADI PILIHAN

KUANTAN – Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan telah menerima seramai 170 orang pelajar baru bagi Kemasukan Tingkatan 1 sesi persekolahan tahun ini. Jumlah tersebut meyakinkan bahawa sekolah agama masih mendapat tempat dalam hati masyarakat khususnya buat generasi baru dalam kerangka memacu perubahan arus pendidikan berlandaskan shariah.
 
Hari Orientasi Pelajar yang dilaksanakan pada 09 Januari 2017 bertempat di Dewan ad-Daraquthni merupakan satu medium yang diketengahkan oleh pihak sekolah untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar. Program ini dilaksanakan berorientasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin mewujudkan insan seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan seterusnya melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
 
Justeru, pihak sekolah berharap agar pertambahan jumlah pelajar pada tahun ini akan menjadi agen perubah seterusnya akan melonjakkan paradigma kecemerlangan sekolah dalam menjadikan Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan sebagai satu organisasi cemerlang dan gemilang menjelang tahun 2020.

Tag: Orientasi