Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan

Selangkah Di Hadapan

AMANAT PENGETUA

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang dan kesempatan berharga ini. Syabas kepada Ahli Jawatankuasa Laman Web SMA AL-IHSAN, KUANTAN kerana mampu merealisasikan laman web rasmi sekolah. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga atas usaha dan komitmen yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan laman web SMA AL-IHSAN, KUANTAN. Terima kasih juga kepada SUK dan PIBG yang menyokong penuh usaha murni ini.
 
               Kepada semua warga terutama pelajar-pelajar yang dikasihi, mulakanlah tahun ini sebagai tahun untuk mencapai kegemilangan seperti mana yang telah ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Kepada pelajar-pelajar SMAI, saya menyeru agar sentiasa mempersiapkan diri dan minda dengan ilmu duniawi dan ukhrawi supaya dapat berhadapan dengan cabaran dunia globalisasi dan seterusnya mampu mencapai wawasan 2020 dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.
 
                Kepada seluruh warga SMA AL-IHSAN, KUANTAN, saya berharap agar dapat berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan agar dapat menjana potensi murid ke tahap yang optimum sekaligus memartabatkan pendidikan agama sebagai institusi pendidikan cemerlang yang mampu melahirkan generasi terbilang minda kelas pertama yang dapat bersaing di persada antarabangsa.
 
                 Akhir bicara, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai sahsiah dan akhlak yang mulia. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga SMA AL-IHSAN, KUANTAN serta ibu bapa sudah tentu dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil. Semoga segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa mendatang.
 
Sekian, terima kasih.
ZAIDI BIN ISMAIL

SEJARAH SEKOLAH


Satu jawatankuasa telah ditubuhkan pada 22-6-1956 setelah mengadakan mesyuarat agong terdiri daripada 100 orang yang merupakan wakil penduduk kampung berhampiran. Ianya dinamakan sebagai “Jawatan Kuasa Benaan Sekolah Arab, Kuantan”. Senarai ahli jawatankuasa adalah seperti berikut:
 
Pengerusi                     : Abdul Aziz Bin Ahmad                     (Ahli Majlis Negeri Pahang)
Setiausaha                   : Sheikh Hussin Bin Sheikh Long       (Pesara Kerajaan)
Bendahari                    : Abdul Samad Bin Haji Hassan         (Peniaga)
Ahli Jawatankuasa       : Haji Sulaiman Bin Husin                    (Kadi)
                                     : Sabeh Bin Mansaah                         (Pembantu Teknik RIDA)
                                     : Haji Abdul Samad Bin Haji Said       (Guru)
                                     : Jamahir Bin Idris                              (Peniaga)
                                     : Md Sidek Bin Haji Abu Bakar           (Ketua Kampung)
                                     : Sheikh Abdullah Bin Abu Bakar       (Peniaga/Arkitek)
                                     : Abu Kassim Bin Mat Saman
 
                Jawatan kuasa ini telah menyediakan pelan dan anggaran perbelanjaan untuk membina satu bangunan sekolah dan dua rumah berkembar untuk guru. Pelan tersebut telah dibuat dengan pertolongan Sheikh Abdullah bin Sheikh Mohamed, arkitek berdaftar di Kuantan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM37,905.00. Bangunan ini akan didirikan di atas tanah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang No. 406/28.9.50 di Kg Selamat.
 
                Kerajaan Pahang bersetuju melalui keputusan Majlis Mesyuarat Negeri yang bersidang pada 3-3-1958 memberi bantuan wang RM10.00 setahun kepada setiap murid yang belajar.
 
                Sehingga 3-8-1958 jawatan kuasa ini berjaya mengutip berjumlah RM944.03. Satu permohonan telah dikemukakan kepada pihak tertentu untuk mendapatkan jumlah RM37,905.00 yang diperlukan tersebut.

MISI, VISI DAN MOTTO

                                                                               MISI

  • Melahirkan modal insan cemerlang menerusi proses pendidikan yang berkualiti dan bermartabat tinggi serta diiktiraf bagi memenuhi aspirasi Jabatan Agama Islam Pahang khususnya dan Negara amnya.
  • Melahirkan pelajar bersahsiah terpuji, memiliki daya saing dan daya tahan yang tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan matlamat Jabatan Agama Islam Pahang.
  • Mewujudkan suasana pembelajaran dan prasarana yang kondusif dan berkesan.
  • Merancakkan kegiatan kokurikulum ke arah pembentukan murid yang seimbang dan menyeluruh.
  • Memastikan pendidik dan PIBG sentiasa komited ke arah kecemerlangan sekolah.

                                                                               VISI
                        SMA Al Ihsan Menjadi Satu Organisasi Gemilang di Pahang Menjelang 2025.

                                                                            MOTTO
 
                                                           SELANGKAH KE HADAPAN”
Slogan digunakan untuk menghasilkan satu budaya serta usaha untuk memaju dan terus memajukan sekolah melalui sumbangan dalam apa jua bentuk mengikut peranan dan kapasiti masing-masing, sama ada sebagai pihak pengurusan, guru, kakitangan sokongan, pelajar, ibu bapa dan agensi luar.

CARTA ORGANISASI

Carta Organisasi SMA al-Ihsan, Kuantan

LAGU SEKOLAH

SMA AL IHSAN

Suatu masa dulu
Umat Islam pernah maju
Menguasai ilmu
Tak terpinggir
Putera puteri Ihsan
Bangkit mendukung cita-cita
Mendukung harapan
Ibu bapa, bangsa, agama

‎* Putera puteri Ihsan
Takkan hirau ranjau dan duri
Meniti hari perjuangan
Memacu minda
Memaju langkah-langkah gemilang
Memaju langkah-langkah gemilang

Suatu tika nanti
Berkat doa dan usaha
Kan ku hulurkan
Sesuatu yang cemerlang
Di pintu gerbang indah
Di awan yang cerah
Bersama menatap
Keputusan wajah cemerlang
Bersama menatap
Keputusan wajah cemerlang
Keputusan wajah cemerlang