Sekolah Menengah Agama Maran

Berilmu, Beramal, Bertaqwa

PERUTUSAN PENGETUA SMAM MENGENAI COVID - 19

MAKLUMAN RASMI SMA LEMBAH PERMATA MARAN BERKAITAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN 18 MAC HINGGA 31 MAC 2020

1. Berikutan kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang pada 18 Mac dan Perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 16 Mac berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan, maka dengan ini pentadbiran SMAM menyeru kepada semua warga SMAM memberi perhatian dan kerjasama sewajarnya dalam menangani isu ini bersama-sama.

2. Sehubungan itu dimaklumkan operasi sekolah dan Pejabat sekolah ini akan *ditangguhkan sementara* bermula *18 Mac hingga 31 Mac 2020* berikutan arahan Kerajaan akibat penularan pantas wabak COVID-19 di seluruh negara.
 
3. Semua guru dan pekerja bukan guru DILARANG memasuki kawasan kompleks sekolah dalam tempoh ini KECUALI Petugas Pengawal Keselamatan dan Pekerja Kontrak Pembersihan sahaja. Jika terdapat sebarang keperluan untuk masuk ke kompleks sekolah, sila dapatkan *KEBENARAN* pihak pengawal keselamatan terlebih dahulu untuk direkodkan *'daftar masuk-keluar'* atas faktor-faktor keselamatan.

3. Pihak pengawal keselamatan DIMINTA mematuhi syif waktu bekerja dan meningkatkan lagi tahap kawalan keselamatan kawasan sekolah terutama kawalan keluar-masuk dalam tempoh arahan ini berkuatkuasa.

4. Manakala pekerja-pekerja kontrak pembersihan, masa bekerja yang perlu dipatuhi akan dipendekkan dari jam *8.00 pagi hingga 2.00 petang (6 jam)*. Sila PASTIKAN tahap kesihatan dan kebersihan tuan/ puan berada di tahap yang memuaskan ketika menjalankan tugas rutin.

5. Sekiranya terdapat mana-mana Pekerja Pembersihan/ Pengawal Keselamatan yang mempunyai simptom penyakit seperti COVID-19 atau Ahli keluarganya yang positif COVID-19, tuan/ puan DILARANG daripada masuk ke kawasan sekolah selama 14 hari dari tempoh kuarantin dikeluarkan.   

6. Guru-guru dan kakitangan bukan guru yang tinggal di kuarters sekolah DINASIHATKAN agar sentiasa berada di sekitar kediaman dan menghadkan aktiviti pergerakan seharian.

7. Seluruh warga SMAM DISARANKAN bersama-sama memanjatkan *doa munajat ke hadrat Allah SWT* agar kita semua dilindungi dari wabak ini dan ianya segera dapat dibendung dan diatasi bagi membolehkan kita semua menjalani rutin seharian seperti sediakala.

Kerjasama dan perhatian dari semua pihak dalam hal ini amatlah diharapkan.

Sekian dimaklumkan.

Saya yang menjalankan amanah,

PENGETUA,
SMA Lembah Permata Maran
18 Mac 2020

Tag: SMAM 2020

0 komen

Sila berikan komen anda di sini