PERUTUSAN AIDILFITRI PENGARAH JAIP

Assalamualaikum WBT.

Terbang kenari di langit cerah,
Hinggap di dahan dibaham Sawa,
Selamat Kembali kepada fitrah,
Moga amal membuahkan takwa.

Syahdu takbir subuh nan sunyi,
Tanda Syawal sudah menjelma,
Ramadhan kini telah pun pergi,
Moga segala amalan diterima.

Penat memandu di jalan raya,
Seronok sungguh bermain mercun,
Kalau tidak waspada sentiasa,
Hilang rahmat bala yang turun.


   Dikesempatan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kerja Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan seluruh umat Islam.  Sempena bulan mulia ini saya menyeru kepada seluruh saudara muslim, marilah kita menyusun sepuluh jari mohon kemaafan atas apa jua kekhilafan kita selama ini.

   Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Taala supaya kita semua dapat menyambut  hari lebaran ini disamping mereka yang tersayang. Berhati-hatilah ketika memandu untuk pulang ke kampung halaman dan selamat kembali bertugas selepas menyambut hari lebaran.

   Dalam kemeriahan kita menyambut syawal pada tahun ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja JAIP sama ada di ibu pejabat mahupun di daerah sehinggalah guru-guru di sekolah, yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam usaha membantu insan-insan yang kurang bernasib baik dan meningkatkan martabat serta imej Islam di bumi Pahang ini. Semoga kita semua beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

DATO’ HAJI MOHAMAD NOOR BIN ABDUL RANI
DSAP.,DIMP.,SAP.,AAP.,AMP.,AMN.,PKC.,PJK.
PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG

Tag: PERUTUSAN AIDILFITRI PENGARAH JAIP